Julia berkata, rasa serik untuk berlakon dalam filem seram hanya timbul tatkala menghadapi masalah dan selepas berubat dan kembali pulih perasaan itu sudah tiada.

“Sebenarnya sewaktu menjalani penggambaran filem Langsuir, arahan Osman Ali di Langkawi, saya kena ganggu. Untuk filem itu saya pegang watak langsuir, sebelum berubah jadi langsuir, saya adalah orang bunian.

“Sewaktu penggambaran di sana, saya sudah dapat rasakan sesuatu selepas menyarung pakaian langsuir. Kebetulan waktu itu ribut dan tiba-tiba saja terasa bulu roma meremang. Saya terus menjerit kata ada sesuatu yang tak kena dengan diri.

“Nasib baik di set penggambaran ketika itu ada ibu Hanna Delisha, dia yang tenangkan dan pulihkan saya. Lepas itu saya terus berlakon seperti biasa dan tak sangka bila balik Kuala Lumpur, saya berubah jadi malas dan setiap kali waktu maghrib, badan rasa panas.

“Bila pergi berjumpa ustaz, dia kata ada ‘benda’ bertenggek pada badan saya. Alhamdulillah, selepas berubat dengan ustaz tersebut, keadaan saya kembali pulih seperti biasa,” ceritanya.

Kata Julia, sewaktu berubat dengan ustaz, dia berazam tidak akan terima tawaran untuk melakonkan kerana takut ditimpa masalah yang sama. Bagaimanapun ketakutan itu seketika sahaja.

“Sewaktu penggambaran di Langkawi itu, saya tidak boleh solat dan tidak ada pelindung diri, jadi mudahlah saya menjadi usikan ‘benda’ itu. Selepas ini kalau ada tawaran watak seram lagi, saya tak akan tolak sebab nak menjadi hantu itu bukan mudah.

“Lagipun itu rezeki. Nak jadi hantu itu susah sebab emosinya perlu ditonjolkan dari dalam, kalau emosi dari dalam kosong, pengarah tidak akan nampak dan babak itu perlu diulang lagi.

“Memang hantu tak bercakap tapi pergerakan dan riak wajahnya penting untuk menggambarkan ‘komunikasi’. Bagi saya jadi jahat lagi senang daripada jadi hantu,” katanya.

Tambahnya, selepas ini kalau berlakon filem seram, dia akan pastikan lebih berhati-hati dan berwaspada sebelum masuk ke set penggambaran. – KHADIJAH IBRAHIM

Ikut kelas lakonan

Julia yang selesa bekerja bawah arahan Osman itu berkata, dalam waktu terdekat dia juga akan berlakon dalam telefilem Taxi Love.

Pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Asia Peace Film Festival 2017 di Pakistan menerusi filem pendek, Life Line arahan Michael Lourdes itu juga berazam akan memberi mutu lakonan yang terbaik.

Malah katanya, setiap kali sebelum menjalani penggambaran filem, dia pasti akan mengikuti kelas lakonan dalam usahanya untuk menjadi aktres yang baik dan berkualiti.

“Karakter dalam filem Life Line yang saya bawa agak berat tapi tidak terlalu menonjol. Banyak bermain emosi dalaman.

“Saya tak fikir pun akan menang. Sewaktu diberitahu tentang kemenangan itu, saya di set penggambaran.

“Pengarah beritahu yang saya menang. Tak sangka namun saya amat bersyukur,” tegasnya.

Dalam pada itu, Julia berkata, kalau ada rezeki, dia teringin nak bekerjasama dengan Michael Ang.

“Saya pernah bekerja dengan Along Kamaludin dan banyak timba ilmu daripadanya. Saya tak kisah kalau lambat dikenali asalkan dapat timba pengalaman dengan sifu yang betul.

“Sebab itu, saya akan pastikan watak dan pengarah dahulu sebelum bersetuju untuk berlakon dalam sesuatu produksi,” jelasnya.

Selain itu, Julia yang baru dua tahun membabitkan diri dalam bidang seni ternyata mempunyai rezeki yang baik.

Kata Julia, buat masa sekarang dia sedang menunggu kata putus dari produksi Hong Kong untuk berlakon dalam sebuah filem terbitan sana.

“Peluang untuk berlakon filem Hong Kong setakat ini positif cuma saya minta perubahan sedikit tentang pakaian.

“Watak yang saya bawa itu perlu memakai pakaian yang seksi tapi saya minta ditukarkan,” katanya.

Menurut Julia, dia tak sanggup untuk berpakaian begitu semata-mata untuk menjayakan watak yang sudah dalam genggaman.

“Ya, benar saya terpilih selepas pergi uji bakat tapi saya juga ada hak untuk menyatakan pendapat.

“Setelah saya menyuarakan pandangan, pihak produksi tidak membantah dan sekarang saya menunggu maklum balas daripada mereka.

“Saya ada prinsip sendiri iaitu tidak akan berpakaian seksi semata-mata kerana lakonan. Semua itu boleh diatur dan dibincangkan,” tegasnya.