Dengan wajah gembira Firman melangkah ke depan menerima trofi kemenangan sambil disaksikan kedua orang tuanya. Tiada yang lebih hebat buat pemuda kelahiran Tawau, Sabah ini selain dapat memberikan kegembiraan kepada ibu dan bapanya.

Semua itu hanya memori buat sang juara seperti Firman. Mengimbas kembali rancangan realiti yang mencari penyanyi serba boleh terbitan Astro ini, AF sebenarnya telah melahirkan ramai bintang dalam industri seni kita.

Bermula dengan musim pertama pada 2003 yang menobatkan Vince sebagai juara sulungnya diikuti dengan Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5), Stacy (AF6) dan Hafiz (AF7), Shahir (AF8), Hazama (AF9) dan Faizul (AF2013).

Juga tidak dinafikan AF sebuah rancangan yang menggunakan kuasa pengundi seratus peratus sememangnya sudah menjadi pelopor kepada rancangan realiti TV di Malaysia sehingga meninggalkan impak kepada industri hiburan tempatan khususnya.

Namun, kelibat juara yang dilahirkan menerusi program itu tidak dilihat keserlahannya. Hanya beberapa nama sahaja seperti Hafiz dan Stacy berjaya menyinar dalam industri. Ke mana semua juara gah itu pergi?

Kita mulakan dengan juara pertama Vince. Kelibat lelaki berbangsa Cina dengan nama penuh Vincent Chong Ying-Cern, 35, sudah lama tidak kedengaran. Selepas mengeluarkan album kedua berjudul Janji Vince pada 2006, dia terus hilang dan kembali dengan album kompilasi Percayalah Sayang pada 2007.

Kisah mengenainya juga jarang diperkatakan selepas itu dan baru-baru ini hanya timbul cerita perkahwinannya yang diadakan secara rahsia.

Berbanding Vince, penyanyi Zahid pula hanya dikenali kerana kepetahannya ketika mengendalikan radio Era FM sebagai juruhebah.

Jarang sekali mendengar dia membuat lagu baharu memandangkan dia merupakan insan yang dilahirkan menerusi program pencarian bakat nyanyi. Cuma ucapan tahniah diberikan kepada Zahid kerana sudah selamat bergelar ayah baru-baru ini.

Mungkin Mawi yang ketika menyertai program itu pada 2005 meraih populariti sangat memberangsangkan. Dia juga sempat digelar ‘Raja SMS’ ketika itu kerana banyak meraih undi penonton dalam AF.

Tapi, dia tidak hanya membuktikan semua itu di AF. Selepas AF, dia juga banyak mencipta kejayaan dengan melahirkan album dan menjadi pelakon.

Malah dia juga berjaya meraih beberapa anugerah sebagai Artis Baharu Lelaki Popular, Penyanyi Lelaki Popular dan paling manis apabila dinobatkan sebagai Artis Paling Popular sempena dua edisi Anugerah MTV (2005 dan 2007). Turut membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi ialah lagu berjudul Aduh Saliha yang dinobatkan sebagai Lagu Paling Popular dalam Anugerah Planet Muzik 2006.

Bagaimanapun, kehebatan AF sebagai program nyanyian sekali lagi teruji apabila juara keempat bernama Faizal atau nama sebenar Mohammad Faizal Ramly tidak menunjukkan sebarang tanda AF akan terus membara dalam hati peminat.

Malah, penyanyi kelahiran Marang, Terengganu terus senyap selepas keluar AF dan sebarang kejayaan tidak terus dicipta oleh sang juara ini.

Sementara itu, muncul pula juara wanita pertama pada musim kelima AF. Memberi kemenangan kepada Mila Jirin pada masa itu mengejutkan ramai pihak. Pada awal kemunculannya di dalam AF, wanita kelahiran Pulau Pinang ini tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia akan mengungguli carta AF.

Benar kata orang, kalau kita berusaha, pasti tuah itu akan menyebelahi kita. Begitu juga dengan Mila, kisah kejayaan jarang sekali dilaporkan berbanding kisah cintanya.

Tinggal sebentar Mila, hadir pula Shahir, juara yang memiliki rupa paras yang menjadi idaman ramai wanita. Nama yang dicipta dalam bidang muzik jarang sekali didengar berbanding kontroversi cinta bersama selebriti popular seperti Rozita Che Wan dan Erra Fazira yang menjadi perhatian umum.

Sekarang lelaki ini sudah senyap dan tidak nampak sebarang perkembangan dalam kerjayanya.

Begitu juga Hazama dan Faizul yang menjadi juara selepas itu. Kehadiran mereka dalam pentas hiburan mesti dirindui oleh peminat, tetapi mana silapnya? Adakah disebabkan diri sendiri atau pihak yang menguruskan sebelum itu?

Bakat dan minat semua juara ini seolah-olah terumbang-ambing dan tidak tahu ke mana hendak membawa hala tuju kerjaya mereka. Harapan sudah tentu mahu melihat banyak kejayaan yang akan ditempa oleh mereka selepas ini.

Dua nama juara AF yang mungkin tidak perlu disebut. Baik Hafiz atau Stacy ramai yang telah melihat kejayaan demi kejayaan dua anak muda masing-masing dari Sarawak dan Sabah ini.

Taring kehebatan yang mereka miliki sebagai penyanyi memang patut dipuji. Ini baru juara sebenar yang diingini.

Mungkin dua orang juara ini sudah cukup untuk menutup kelemahan juara-juara AF yang lain.

Apa lagi, AF sering menjadi bualan sejak menemui peminat sepuluh tahun lalu. Banyak juga perubahan yang telah dilakukan oleh pihak AF bagi mencantikkan program tersebut.

Yang penting mereka tidak dibiarkan terkontang-kanting mencari arah sendirian serta tapak di dalam bidang seni.