“Saya bekerja di bank, rakan-rakan lain bekerja dengan kerajaan. Kami hanya melakukan promosi atau persembahan di hujung minggu atau sebelah malam sahaja. Kami masih lagi menyanyi di kafe-kafe dan kelab. Walaupun bekerja, kami tidak ada masalah untuk membahagi masa kerana seringkali kami akan ditemani oleh ahli keluarga. Setakat ini, ahli keluarga memahami minat kami dan mereka sentiasa memberi sokongan,” kata Iman yang sudah mempunyai teman wanita itu.

Bagi meneruskan kelangsungan mereka dalam bidang muzik yang saban hari ada sahaja wajah baharu, De’Meises ketika ini sedang rancak melakukan rakaman untuk album kedua.

“Ya, ketika ini kami sedang melakukan proses untuk album kedua, kira-kira 55 peratus sudah siap. Setakat ini kami lebih mengutamakan lagu-lagu ciptaan sendiri. Kalau ciptaan orang lain agak sukar untuk dijiwai, seperti saya dendangkan lagu Dengarlah Bintang Hatiku kerana itu bukan pengalaman saya.

“Kami masih lagi mengekalkan konsep pop balada dan bezanya kami dengan kumpulan lain, De’Meises banyak menggunakan akustik dan suara yang harmoni kerana kami semua boleh menyanyi,” jelas Iman lagi.

Dia yang menggemari kumpulan The Beatles, berkata jika diberi kesempatan, dia ingin menghasilkan sebuah album Inggeris kerana para pengunjung kafe dan kelab yang menonton persembahan mereka terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

“Selain daripada minat kumpulan The Beatles, saya juga berimpian untuk menghasilkan album Inggeris sebagai tanda kenangan sepanjang pembabitan dalam bidang seni ini,” katanya penuh harapan.

SEBUTANNYA hampir sama tetapi De’Meises dan D’Masiv adalah dua kumpulan muzik yang berbeza. Kumpulan D’Masiv terlebih dahulu mendapat tempat di hati peminat tempatan menerusi lagu Rindu Setengah Mati pada 2010 dan ketika itu kumpulan De’Meises baru ditubuhkan. Persamaan antara D’Masiv dan De’Meises, masing-masing berasal dari Indonesia.

Baru-baru ini kumpulan De’Meises yang dianggotai oleh Iman Lukman Asikin atau Iman, 26, selaku vokalis, Messias Mochammad Mahdi (Messi - gitar), 25, Neno Juliama (bes), 24, dan Riza Lesdiana Mulyana (Riza - dram), 25, bertandang ke Malaysia untuk melancarkan album sulung berjudul Dengarlah.

Sebenarnya album Dengarlah yang memuatkan lagu Dengarlah Bintang Hatiku sudah berada di pasaran Indonesia sejak empat tahun lalu dan kini baru De’Meises berpeluang memasarkannya di sini.

“Kami juga tidak sangka pendengar di sini menyukai lagu Dengarlah Bintang Hatiku. Di Indonesia, lagu itu turut mendapat sambutan tetapi di sini sambutannya lagi hebat. Buktinya, bila saya tengok YouTube, empat juta daripada lima juta pengunjungnya adalah dari Malaysia.

“Disebabkan itu, kami berusaha mencari peluang di sini. Sebenarnya kami pernah berhubungan dengan pihak Warner Music Malaysia suatu ketika dulu tetapi terputus dan kemudian bersambung kembali dan akhirnya kami berada di sini untuk melancarkan album pertama,” kata Iman.

Siapa sangka walaupun album lama yang baru dilancarkan di Malaysia, kumpulan De’Meises sudah menerima anugerah platinum berkembar daripada pihak Warner Music Malaysia. Penganugerahan itu berlangsung kerana jualan digital ringback tone untuk lagu Dengarlah Bintang Hatiku berjaya mencecah jualan melebihi 500,000 unit.

“Pada mulanya kami tidak tahu yang lagu Dengarlah Bintang Hatiku dijadikan lagu latar untuk drama Ijab dan Qabul. Bila rakan-rakan beritahu, barulah saya sibuk mencari dan ternyata ramai yang menyukainya dan kini kami berpeluang mengedar album di sini. Terima kasih kepada semua yang menyokong.

“Bukan kami sengaja mahu melancarkan album yang sudah lama berada di pasaran tetapi itu semua adalah atas permintaan syarikat rakaman yang melihat sambutan di sini lebih menggalakkan dan kami sendiri teruja untuk memasarkan album di sini,” kata Iman mewakili rakan-rakan lain.

Lagu Dengarlah Bintang Hatiku yang berentak balada itu adalah ciptaan teman baik mereka, Aida K dan lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album tersebut adalah ciptaan De’Meises.

Gambar ROY AZIS ABD. AZIZ

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
[email protected]
com.my