Bukan sahaja Meer Nash, seorang lagi artis berpotensi, Maisarah turut berpayung dibawah label OnMuse dalam meniti karier sebagai penyanyi Malaysia.

Gandingan Meer Nash dan Maisarah membuatkan Utusan Online terpanggil untuk mengundang mereka menjayakan segmen Jom Chat pukul 9 malam ini yang dapat ditonton secara live di Facebook Utusan Online.

Meer Nash, 22, dan Maisarah, 16, mahu menempa kejayaan sebagai penyanyi yang bukan sahaja mampu menakluk industri hiburan tempatan tetapi juga luar negara.

Pokok pangkalnya, Meer Nash dan Maisarah perlu berusaha keras agar lagu berjudul Tetap Setia mereka dapat diterima khalyak penggemar muzik di Malaysia.

Sedikit latar belakang tentang Maisarah, gadis berwajah cantik ini berkebolehan bermain alat muzik ukulele, mempunyai bakat mencipta lagu serta pernah membuat persembahan pembukaan di Istana Budaya pada Konsert 33 Tahun Francessca Peter tahun 2011.

Manakala Meer Nash pula yang memenangi pertandingan Intervarsity Mandarin Singing Competition for Non-Native Speakers anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Shah Alam, Selangor tahun lepas, pernah melahirkan dua singles bersama VOTEz berjudul Mana Dulu dan Propa. - UTUSAN ONLINE