Bahkan, ramai yang tidak sabar untuk mendengar versi penuh lagu tersebut selepas Khai memuat naik sebahagian daripada lagu ciptaan Adi Priyo dan lirik oleh Manusia Putih dalam laman Instagram miliknya sebelum itu.

Pada masa yang sama, muzik video lirik lagu tersebut disiarkan secara rasmi mulai semalam menerusi saluran YouTube Nartvnetwork serentak dengan tayangan drama tersebut yang bermula semalam.

Adi yang merupakan vokalis kumpulan 6ixth Sense memberitahu, lagu tersebut dicipta berdasarkan jalan cerita drama terbitan Global Station Sdn. Bhd. itu, sementara diarahkan oleh Feroz Khan.

Jelasnya, jika diikutkan pada perancangan awal, pihak Global mencadangkan nama penyanyi lain untuk mendendangkan lagu tersebut tapi Adi menolak kerana tidak berapa kenal penyanyi itu.

“Saya tak ikut kehendak penerbit kerana saya tidak rapat dengan penyanyi berkenaan, bila saya cadangkan Khai, mereka setuju. Lagipun lagu ini memang sesuai dinyanyikan oleh Khai. Sebenarnya melodi lagu ini telah ada dalam simpanan saya dan liriknya pun sudah siap.

“Disebabkan lagu itu mahu dijadikan runut bunyi drama, saya terpaksa ubah lirik mengikut jalan cerita dan akhirnya jadilah Jodohku. Rakaman lagu ini tidak mengambil masa yang lama, kira-kira dua jam sahaja untuk rakaman di studio. Saya tidak ada masalah dengan Khai kerana sebelum ini kami pernah bekerjasama,” kata pemilik nama sebenar Adi Priyo Sambodo.

Adi berharap lagu ciptaannya itu mampu menyentuh hati pendengar, sekali gus meletakkan lagu dendangan Khai dalam carta muzik tempatan.

Sejak lagu tersebut dimuat naik dalam YouTube 18 jam yang lalu, jumlah tontonan muzik video lirik untuk drama lakonan Nelydia Senrose, Aedy Ashraf, Hafidz Roshdi dan Ben Amir itu telah mencecah 81,000 kali tontonan.

Drama 100 episod yang diadaptasi daripada drama Filipina, Sanay Wala Nang Wakas itu disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang menerusi saluran Astro Prima 105 dan Maya HD 135. - UTUSAN ONLINE