“Tiada sebab lain untuk saya terus mengharapkan cinta Raja Azmi selain percaya dia adalah wanita yang paling memahami saya.

“Bekerja sebagai pemuzik, bukan mudah sebenarnya untuk mencari seseorang yang boleh terima kita seadanya, sebab itu sukar untuk saya sendiri lepaskan Raja Azmi,” katanya yang bernikah kali pertama dengan Raja Azmi pada 13 Oktober 2013.

Melalui episod perceraian yang dianggapnya perit. Bagi Eddie yang juga pemain bes kumpulan rock 1990-an iaitu CRK, walaupun ini merupakan kali ketiga dia berkahwin ada pengajaran yang mahu diambil bagi menjamin kebahagiaan rumah tangganya selepas ini.

“Perkahwinan pertama, isteri saya meninggal, jadi memang dalam bab perceraian ini adalah pengalaman pertama buat saya sebenarnya. Kalau boleh saya tidak mahu laluinya lagi.

“Sebab itu saya mahu gunakan peluang kedua ini sebaik-baiknya untuk kesejahteraan saya dan isteri,” katanya.

Mahu jadi isteri terbaik

Ikut keras hatinya, ternyata Raja Azmi bukan seorang wanita yang rapuh. Bagaimanapun kerap kali dipujuk, siapa sangka penerbit terkenal ini kembali akur untuk menerima kembali cinta lalunya. Berkongsi kisah, kata Raja Azmi atau nama sebenarnya Raja Azmi Raja Sulaiman, 57, tiada sebab buatnya tidak menghargai peluang kedua ini.

“Sepanjang bercerai ini saya banyak fahami cela dan buruk diri sendiri, sebab itu ada hikmah kepada perceraian kami.

“Bagi saya ini adalah peluang kedua yang tidak harus kami sia-siakan, sebab itu dalam masa yang sama saya turut meletakkan syarat buat Eddie juga agar kami mampu bina rumah tangga yang lebih bahagia,” katanya.

Tidak lupa untuk berjanji menjadi seorang isteri yang lebih baik, ternyata perkahwinan kali ketiga ini banyak mengajar Raja Azmi untuk sentiasa menghargai Eddie. Malah dia tidak mahu menolak, tempoh perceraian banyak menyemai semula cinta mereka.

“Selepas bercerai hampir setiap hari dia cuba memujuk saya untuk bersatu kembali. Malah pada awalnya memang saya sangka kami hanya boleh berkawan sahaja, namun bila melihat kesungguhannya saya kembali jatuh cinta.

“Tentunya saya mahu perkahwinan ini kekal buat kami berdua, apa yang pasti saya berjanji dengan Eddie untuk menggunakan peluang kedua ini menjadi seorang isteri yang lebih baik,” katanya.

Bersyukur dengan penyatuan kali kedua ini, kata Raja Azmi, ketika berkongsi mengenai keputusannya untuk kembali menjadi isteri Eddie ternyata anak-anaknya, Puteri Suraya, 31, Puteri Suaida, 27, dan Megat Deli, 22, tidak terkejut. Malah turut gembira dengan keputusan dirinya untuk kembali bergelar sebagai isteri.

“Anak saya terutamanya yang sulung amat suka dengan keputusan ini, malah percaya dengan Eddie.

“Selepas bercerai saya juga tidak sangka akan kembali berkahwin, mungkin ini sudah ditakdirkan untuk kami berdua dan saya sangat gembira,” katanya.