Sentiasa tenang dalam apa juga keadaan, menurut Fauziah Latiff, dia sedang melalui fasa bahagia dengan limpahan kasih daripada keluarga, anak-anak dan rakan taulan.

Berada dalam ruang udara yang selesa, penyanyi bersuara lembut yang mesra dipanggil Gee ini tidak berhasrat mahu mencari sesuatu yang boleh membebankan kehidupannya kelak.

Fauziah Latiff

“Kalau ditanya tentang pasangan hidup, saya tidak lagi mencari. Kalau ada nanti, adalah. Namun jika tiada, tidak mengapa.

“Masih banyak perkara yang boleh difikirkan selain soal jodoh. Memandangkan diri sendiri pun tidak terurus, untuk apa saya mahu bebankan diri dengan orang lain pula.

“Hidup saya baik-baik sahaja, malah semakin bahagia dan terisi. Allah sentiasa ada. Sedikit pun saya tidak rasa kosong apabila saya berpegang pada suruhan-Nya,” jelas Gee yang bakal muncul sebagai juri tetap dalam program terbaharu Astro, Mikrofon Impian bermula 17 Februari ini.

Mikrofon Impian merupakan inisiatif kemasyarakatan Astro dalam menyuntik kesedaran serta membawa penonton menyelami perasaan penghutang yang terpaksa melalui kesusahan dan keperitan akibat terjerat dengan tanggungan hutang dalam kehidupan seharian.

Kali kedua bertindak sebagai juri dalam pertandingan realiti selepas Malaysian Idol pada 2004, Gee atau nama sebenarnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff mengakui agak teruja untuk melakukannya kembali berikutan konsep program ini begitu berbeza.

“Saya terus bersetuju dengan tawaran program ini kerana objektif yang disampaikan begitu menyentuh hati. Malah setiap episod mempunyai pengajaran yang tersendiri.

“Program ini membuka mata saya tentang cabaran dan kesusahan yang dihadapi dalam hidup. Mungkin apabila berlangsungnya program ini, ada yang akan mengecam formatnya, namun saya harap ia dilihat dari sudut yang lebih luas dan positif,” jelasnya.