Jika tahun lalu Singapura menjadi saksi kepada kehebatan kumpulan ini, kini Istana Budaya (IB) pula mengangkat Kembara sebagai sebuah kumpulan muzik berpengaruh tanah air.

Walau pun 28 tahun tidak mengadakan konsert besar di sini, mereka tidak kekok. Satu persatu lagu yang pernah termuat dalam album dinyanyikan semula dengan semangat baru.

Tidak sekadar mempertaruhkan M Nasir selaku vokalis utama, Kembara sebenarnya lebih besar daripada itu. Kehebatan anggota asal lain yang terdiri daripada S Sahlan dan A Ali melengkapkan semula ‘roh’ Kembara itu sendiri.

Untungnya mereka tidak bertiga sepanjang tiga hari Konsert Hati Emas Kembara bermula Jumaat dan berakhir malam ini, sebaliknya turut diperkuat dengan kehadiran ahli lain termasuklah Zoul, Md. Shah dan Che Man sepanjang konsert.

Sejak awal penubuhan, Kembara hadir dengan pakej yang lengkap. Tidak sekadar mempertaruhkan M Nasir sebagai vokalis utama, tetapi kesemua ahli yang lain juga mampu menyanyi dengan baik.

Sesuai dengan status kumpulan vokal harmoni, perjalanan konsert ini pastinya memberikan variasi dan mengubat kerinduan peminat terhadap suara ahli yang lain.

Bagi generasi terdahulu pastinya lagu-lagu seperti Sesat Di Kuala Lumpur, Senandung Buruh dan Sekuntum Bunga Plastik tidak asing di telinga mereka.

Lagu-lagu tersebut bagaikan sudah meresap di hati sebahagian besar peminat setia mereka yang tidak pernah menganggap satu kebosanan.

Pun begitu Kembara membuktikan kematangan mereka semakin menyerlah kali ini. Sebanyak 27 buah lagu diperdengarkan kepada peminat yang pastinya terbuai dengan nostalgia.

Secara dasarnya mereka dilahirkan untuk menghibur semua lapisan peminat. Tidak sekadar memaparkan kisah-kisah cinta semata-mata, Kembara sebenarnya banyak mengangkat kisah rakyat.

Lagu-lagu seperti Impian Anak Jalanan, Siapa Orang Kita dan Sesat di Kuala Lumpur sudah cukup untuk menggambarkan apa sebenarnya yang lalui ketika mula menapak di dalam industri seni.

Kembara boleh dianggap pejuang lagu-lagu yang dekat di hati golongan marhaen yang menghadapi kesukaran hidup.

Paling tidak lagu-lagu yang dimainkan dianggap ‘lagu kutu jalanan’ satu masa dahulu tetapi kini diangkat ke tempat tertinggi melalui perjalanan lebih 30 tahun mereka.

Seharusnya evolusi ini dilihat lebih besar memandangkan tidak semua kumpulan yang pernah hadir seperti mereka mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Bertambah manis apabila lagu-lagu ini menjadi lagu lima bintang yang akan dikenang dalam lipatan sejarah pada masa akan datang.

Melihatkan perjalanan Konsert Hati Emas Kembara yang bakal berakhir malam ini pastinya sebahagian besar peminat terbuai dengan irama nusantara dan folk yang menjadi tunjang kumpulan ini.

Mereka menghangatkan suasana dengan lagu Ekspres Rakyat yang masih popular sehingga ke hari ini. Pastinya lagu tersebut membangkit keterujaan sebahagian besar peminat yang memenuhkan Panggung Sari, IB.

Lagu-lagu lain yang turut dinyanyikan termasuklah Ada Sepasang Mata, Bas Nombor 13, Perjuangan, Impian Seorang Nelayan dan Kolar Biru begitu mengasyikkan.

Menambahkan kehebatan pastinya paparan visual dan keadaan pentas yang minimal tetapi terkesan serta ditambah dengan kekemasan susunan muzik menambahkan lagi kehebatan konsert ini.

M Nasir tidak ketinggalan bercerita mengenai Kembara yang pada asalnya sebuah kumpulan yang terlahir melalui pengamatannya awal terhadap industri seni ketika itu.

Tidak banyak kumpulan vokal harmoni yang ada dan menjadikan mereka unik. Paling tidak kenangan ketika kali pertama meneroka kota Kuala Lumpur terus segar dalam ingatannya sehingga hari ini.

Sudah pasti apa yang berlaku ketika itu dizahirkan di dalam lagu. Gambaran dan perlambangan itulah yang akhirnya dijadikan lagu seperti Nusantara, Bunga Bakawali, Kutu, Di Hentian Puduraya, Kiambang dan banyak lagu lain lagi.

Pastinya lagu-lagu popular seperti Keroncong Untuk Ana, Kepadamu Kekasih, Duit dan Hati Emas dilagukan dengan penuh perasaan sebelum menutup persembahan dengan lagu Gerhana.