Antara badan korporat yang terlibat ialah Sime Darby, Universiti DRB-Hicom, Hotel Tune serta Hotel Primula.

PIPE! yang menerbitkan produksi sulung pada November 2017, kini semakin berkembang dengan membawakan teater tersebut di bawah program Siri Semarak Bangsawan dengan skala yang lebih besar.

Menurut pengarah projek, Pat Ibrahim, pembabitan kesemua organisasi korporat ini antara lain dapat membantu memperluaskan lagi siri jelajah tersebut.

“Kita akan pergi ke lapan buah negeri dan mempersembahkan teater Bangsawan Dendam Laksamana.

“Misi kami mahu memelihara kesantunan melayu, budaya dan warisan terutamanya warisan tidak ketara dalam konteks bangsawan.

“Justeru itu, kami merasakan perlu untuk pergi kepada penonton yang berminat untuk melihat sendiri teater ini walau jauh di pelosok luar bandar.

“Sokongan dan perhatian pihak korporat terhadap usaha kami ini amatlah kami hargai kerana mereka sudi menjalinkan kerjasama,” ujarnya kepada UTUSAN ONLINE.

Bangsawan Dendam Laksamana dibintangi Hairi Safwan, Nadia Aqilah, Azizah Mahzan, Jay Iswazir, Anwar Rusdini, Asmidar, Ucop dan Naque Ariffin.

Ia akan dipentaskan di Johor pada 25 Jun hingga 1 Julai, Melaka (2-8 Julai), Pahang (9-15 Julai), Terengganu (15-21 Julai), Pulau Pinang (22-28 Julai), Kedah (30 Julai-5 Ogos), Perak (5-11 Ogos) dan Kuala Lumpur (29 Oktober – 11 November). - UTUSAN ONLINE