Buktinya, dia pernah menghasilkan naskhah yang berjaya mengangkat namanya menerusi beberapa filemnya iaitu XX Ray, Fantasi dan Puteri Impian sekitar tahun 90-an.

Biarpun sebelum ini lebih cenderung dengan garapan filem berbentuk sains fiksyen dan komedi, kini Aziz tampil dengan sebuah karya bergenre seram dan cemas buat sekian kalinya berjudul Jengka.

Meskipun kini memilih untuk berada di kerusi penerbitan sahaja, tapi saya percaya penonton ternanti-nanti akan buah tangan terbaharu dari Ace Motion Pictures miliknya.

Justeru, Aziz memberikan kepercayaan kuat kepada dua sutradara yang semakin meningkat naik iaitu Ramdan Che Hassan dan Nyon Othman bagi mengemudi keseluruhan penceritaan.

Bagi memberikan kesan sebenar kisah ini, Aziz yang memperoleh idea bagi menghasilkan filem Jengka selepas bertemu dengan seorang lelaki dan berkongsi kejadian kisah seram yang sebenar pernah berlaku dalam ahli keluarga mereka.

Apa yang menariknya, filem yang mengambil konsep found footage dan inspirasi yang kelihatan sama seperti kisah seram terkenal seperti Paranormal Acitivity ini boleh dikatakan tidak menghampakan dan boleh diklasifikasikan sebagai satu percubaan yang baik.

Meskipun dilihat biasa-biasa sahaja, tetapi pujian harus diberikan kepada semua tenaga produksi kerana mampu mengeluarkan idea yang cukup berbeza daripada kisah seram yang klise.

Dibarisi pelakon hebat seperti Riezman Khuzaimi sebagai Basir, Ramona Zamzam sebagai Nini, Raja Azrey (Along) dan Eyka Farhana (Aqish) berjaya menghidupkan watak yang dipertanggungjawabkan.

Penceritaan Jengka adalah berdasarkan kisah sebenar. Jadi, bagi menampakkan kesan seram itu lebih berbekas, pengarah memaparkan visual sebenar dan lakonan semula di layar skrin supaya dapat lari dari filem seram yang ada di Malaysia.

Selain itu, teknik imej janaan komputer (CGI) yang ada dalam filem ini juga kelihatan sangat menjadi dan mampu memberikan penonton yang menyaksikan tayang perdana filem tersebut baur-baru ini tidak senang duduk.

Ditambah dengan penggunaan rakaman secara found footage atau lebih tepat lagi penggunaan kamera tangan dilihat berupaya membawa penonton melekat di kerusi pawagam hingga penghujung cerita.

Ia berjaya memberikan gambaran sebenar apa yang terjadi dan diakui dengan bantuan kesan bunyi menguatkan lagi kisah seram ini wajib ditonton.

Selain itu, ketika dalam keadaan kelam kabut dan cemas di kawasan hutan, penonton boleh berasa tidak senang duduk dengan keadaan yang begitu gelap dan hanya berbekalkan lampu picit serta lampu kamera video.

Sesekali dengan berbekalkan CGI, situasi kemunculan entiti makhluk halus secara tiba-tiba mampu membuatkan penonton meremang bulu roma.

Saya akui kesan CGI yang diselitkan dalam filem ini nampak realistik dan tiada cacat cela.

Bagi peminat tegar filem seram tanah air, Jengka yang masa tayangannya 87 minit tidak mengecewakan. Rata-rata penonton yang menonton pada malam tayangan perdana lalu melahirkan rasa puas hati dengan karya yang begitu menakjubkan.

Sedikit sinopsis mengenai filem ini, segalanya bermula apabila Nini yang sedang sarat mengandung meminta suaminya, Basir menghantar dia pulang ke kampung halaman yang terletak di Jengka, Pahang untuk bersalin.

Kepulangan Nini di kampung disambut abangnya iaitu Along, adik perempuannya (Aqish) dan ibunya. Mereka sekeluarga juga telah mengadakan majlis kenduri doa selamat sempena menyambut kelahiran bayi yang bakal dilahirkan.

Pada malam kenduri doa selamat, Nini telah terdengar perbualan di antara Basir dengan kekasihnya melalui telefon bimbit.

Meskipun sebelum ini Basir telah berjanji untuk tidak mengulangi lagi kesilapan sama, namun semuanya sudah terlambat.

Bahagia yang dijanjikan kini menjadi porak-peranda dan lebih mengharukan apabila Nini meroyan kerana terlalu kecewa dengan sikap suaminya telah lari ke dalam ladang kelapa sawit yang berpenunggu.

Ketika pencarian dijalankan bagi mengesan Nini dalam hutan yang gelap itu, mereka telah menjumpai daging uri yang telah dimamah anjing dan menguatkan hati bahawa bayi yang telah lahir itu telah dilarikan anjing.

Lebih menggemparkan dalam situasi yang agak kucar-kacir itu, mereka sering terdengar bunyi suara bayi menangis dan telah terserempak dengan penunggu.

Bagi Riezman sendiri, dia begitu yakin dengan penerimaan filem seram ini buat penonton yang sering mendambakan filem-filem daripada anak tempatan.

“Saya menjalani penggambaran filem ini dua tahun lepas dan memang sangat lega selepas ia ditayangkan. Diharap penonton semua menyokong industri perfileman tempatan walau dalam apa keadaan sekali pun.

“Sewaktu ditawarkan oleh Aziz untuk pegang watak sebagai Basir dan berlakon pula dengan Ramona, memang saya akui pada awalnya agak kekok kerana masih mencari lagi keserasian.

“Alhamdulillah pengarah dan semua produksi serta pelakon memberikan kerjasama yang baik. Inilah hasilnya. Sebuah kisah seram yang ibaratnya seperti paranormal. Ia bukan seram yang biasa-biasa kita lihat di pawagam,” tuturnya.

Filem yang menelan kos RM1 juta ini telah pun ditayangkan di seluruh pawagam tanah air mulai 26 Mac lalu. Selain barisan pelakon yang disebutkan di atas, ia turut dibantu oleh Afida Es, Jobot dan Sahiddin ini mampu menghantui anda.