Ujar Anajin, 45, kesinambungan kisah tersebut diterjemahkan dalam karya terbaharunya dengan judul Jejak Megat dan filem tersebut akan ditayangkan kepada umum mulai April tahun hadapan.

“Segelintir pihak mungkin beranggapan saya terlalu membuang masa kerana menunggu tempoh yang sangat lama sebelum menghasilkan filem Jejak Megat ini.

“Namun secara peribadi, ia merupakan penantian yang berbaloi kerana sepanjang tempoh tersebut, proses menulis semula serta penilaian semula jalan penceritaan.

“Syukur Alhamdulillah.. ia dapat dilaksanakan sehinggalah terbitnya fasa akhir untuk produksi dan penggambaran dapat dijalankan dengan lancar,” katanya kepada Utusan Online, hari ini.

Mengulas lanjut tentang filem tersebut, Anajin berkongsi rahsia bahawa Jejak Megat sebenarnya diinspirasikan dari kisah benar yang pernah terjadi dalam lingkungan kehidupan zaman remajanya.

“Saya pernah mengikuti bengkel penulisan skrip bersama pengarah tersohor, U-Wei Saari dan menerusi pertemuan itu, saya berpegang dengan kata-katanya untuk menulis cerita yang dekat dengan diri kita.

“Sehubungan itu, saya memetik imbauan kisah tahun 80-an yang berlaku di hadapan mata sewaktu saya membesar di Ulu Tiram, Johor dan dari situlah, Jejak Megat akhirnya dapat dihasilkan sebagai sebuah filem,” katanya.

Kisah bemula setelah seorang perisik cawangan khas, Megat berkahwin dengan seorang gadis bernama Sarah dan setelah berkahwin, dia ditugaskan untuk melakukan penyamaran dalam sebuah kumpulan jenayah terancang yang dipimpin oleh Boron.

“Tanpa diduga, rakan zaman kanak-kanaknya, Tombot juga merupakan salah seorang ahli kumpulan tersebut dan melalui filem ini, penonton dapat melihat sisi ketidak adilan serta pengkhianatan yang terpaksa dilakukan oleh seorang perisik tanpa identiti.

“Dalam filem ini, tidak ada pihak polis yang dilibatkan secara khusus namun jika bertanya siapakah heronya, dia adalah seorang penjenayah yang mempunyai sisi baik dan kelakuannya itu boleh dijadikan sebagai satu pengajaran,” katanya.

Berbezanya filem Jejak Megat dengan filem-filem lain, naskah yang dtampilkan merupakan satu eksperimen yang berkonsepkan ‘perniagaan filem’.

“Kita tahu penonton sekarang lebih bijak membaca penceritaan. Jadi mereka perlu tonton filem ini agar kami dapat maklum balas dari penonton bijak ini suatu masa nanti,” katanya.

Jejak Megat terbitan Rogue & Rebel menampilkan barisan pelakon aksi lagak ngeri yang berasal dari Johor seperti Chaoi Izghan sebagai Megat, Azlym Aziz (Tombot), Rizal Dasuki (Sedi), K. Suresh Kanna (Toni) dan Christopher Chong Wei Yang (Leggo). - UTUSAN ONLINE