Walau bagaimanapun, baru-baru ini Jay-Z untuk pertama kalinya telah membuka mulut mengenai permasalahannya itu ketika ditemuramah oleh The New York Times Style Magazine.

Menurut Jay-Z, kemiskinan yang dihadapinya ketika kecil membuatkan dia membina tembok di sekeliling dirinya. Katanya lagi, apabila perlu berjuang untuk terus hidup, secara tidak langsung, seseorang akan fokus hanya untuk kelangsungan hidup dan menutup semua emosi. Tanpa emosi, pelbagai akibat yang tidak baik akan terjadi.

“Jadi walaupun dengan wanita, perasaan kamu akan tertutup. Kamu tak akan dapat berhubung. Dalam kes saya, ianya sangat dalam dan semua kecurangan bermula dari situ,” ujarnya.

Setiap orang mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap trauma. Akibatnya mungkin akan lebih parah apabila ianya terjadi ketika seseorang masih kecil dan mindanya sedang berkembang. Tetapi yang baiknya, Jay-Z kini faham bagaimana kisah silamnya menyebabkan dia melukai Beyonce.

Semasa ditemuramah, Jay-Z tidak kelihatan seperti sedang memberikan alasan sebaliknya dia nampak ikhlas menceritakan bagaimana trauma silamnya membuatkan dia mengambil keputusan yang salah ketika dewasa.

Perkahwinan pasangan ini mungkin sahaja boleh berakhir dengan perceraian tetapi Jay-Z memilih untuk menjalani terapi bagi membantunya menangani trauma masa lampau.

“Kamu tahu, kebanyakan orang hanya akan melangkah pergi. Kadar perceraian ialah seperti 50% kerana manusia tidak dapat melihat diri mereka sendiri,” tambah Jay-Z.

Jun lalu, seminggu sebelum berakhirnya musim bunga, pasangan ini menyambut kelahiran kembar mereka, Sir dan Rumi.

Setelah kelahiran album terbarunya 4:44, di mana Jay-Z mengakui kecurangannya dan juga menceritakan perbalahannya dengan Kanye West, barulah dunia benar-benar memahami bagaimana berertinya kelahiran Sir dan Rumi buat pasangan tersebut.

Luahan daripada lirik lagu Jay-Z menceritakan bagaimana Beyonce pernah keguguran dipercayai disebabkan oleh keresahan dan hal-hal lain yang berpunca daripada kecurangan Jay-Z.

Menurut penyanyi rap ini lagi, 4:44 menyelamatkan perkahwinannya dan membantu dirinya memikirkan kembali apa yang telah dilakukannya terhadap Beyonce, perkahwinan mereka dan dirinya sendiri.

Jay-Z, 48 dan Beyonce, 36 berkahwin pada tahun 2008 dan mempunyai tiga orang anak yang mana seorang lagi adalah Blue Ivy Carter berusia 5 tahun.

Hidup Jay-Z hari ini bagai langit dan bumi jika dibandingkan dengan zaman kanak-kanaknya yang serba kekurangan. Majalah Forbes pada Mei lalu mengumumkan bahawa Jay-Z kini mempunyai kekayaan kira-kira RM3.29 bilion.

Manakala Beyonce juga turut memasuki carta Wanita Terkaya Amerika (atas usaha sendiri) dengan anggaran kekayaan sebanyak RM1.42 bilion. Pasangan ini memiliki kekayaan bersama bernilai tidak kurang daripada RM4.72 bilion.