Pada awalnya teruja berkongsi cerita tentang projek baharu, Sarah seakan baru tersedar judul Rise And Fall rupa-rupanya sama dengan judul lagu Haqiem Rusli.

Kalau ada yang perasan, judul lagu tersebut sama dengan lagu Jatuh Bangun milik penyanyi kontroversi ‘tekanan perasan’ itu sekali gus mengundang tanda tanya dan kekeliruan peminat.

Bukanlah bersikap mahu menyelamatkan diri sendiri, kata Sarah lagu Rise And Fall telah diberikan oleh Faizal Tahir kepadanya dan komposer itu tidak bercadang mahu membuat sebarang pertukaran.

“Tajuk tu bukan saya yang pilih atau tetapkan. Difahamkan sudah sedia ada dalam simpanan Faizal sejak sekian lama.

“Kalau ditanya, saya fikir ia bukan satu masalah atau sengaja mahu cipta kontroversi pun sebab judul yang lebih kurang sama tidak bermaksud ia juga adalah sebuah lagu yang sama atau ciplak,” katanya.

Pun begitu, sebagai seorang artis yang sedang meningkat naik, Sarah sedar dia tidak dapat lari daripada perihal dibandingkan dengan Haqiem.

“Saya terbuka kepada sebarang pandangan dan faham bahawa setiap daripada kita mempunyai pendapat yang berbeza-beza.

“Kalau dirasakan pendapat mereka itu betul, maka terpulanglah. Saya sendiri pun ada pendapat sendiri. Apa yang penting, lagu itu tidak meniru mana-mana pihak pun,” tambahnya.

PELUANG BUKAN MUDAH

MENERIMA baik ‘hadiah’ daripada Faizal yang juga merupakan seorang komposer hebat yang disegani, Sarah berbangga kerana berupaya menarik minat lelaki itu untuk melihat potensi dirinya.

Sebagai seorang artis baharu, Sarah sedar bukan mudah untuk meraih kepercayaan mana-mana komposer seperti Faizal untuk menggalas tanggungjawab menyanyikan karya mereka.

“Perjalanan dalam industri tak sampai pun setahun lagi, tetapi saya berbangga kerana setakat ini berpeluang bekerjasama dengan komposer yang hebat.

“Kebetulan saya kini sedang merancang untuk hasilkan album mini dan selain Faizal, komposer lain seperti Ezra Kong, Hael Husaini, Sir Khan, Aman Ra dan Sharon Paul juga terlibat sama,” tambahnya.

Menolak andaian bahawa dia adalah anak emas syarikat rakaman Rusa Music Sdn. Bhd., Sarah menganggap ia adalah satu tuduhan tidak berasas.

Katanya, hasrat untuk bekerjasama dengan nama-nama besar tersebut memang diajukan olehnya tetapi segala perbincangan dan pertemuan dilakukan olehnya sendiri.

“Saya cuma minta bantuan pihak syarikat untuk mengaturkan pertemuan sahaja dan selebihnya saya lakukan sendiri ditemani ayah.

“Sedikit pun tidak meletakkan diri sebagai seorang yang hebat kerana apa yang dilakukan adalah semata-mata mahu menghasilkan karya yang bagus dan berkualiti untuk peminat.

“Jadi tak ada sebab untuk orang kata saya adalah anak emas syarikat kerana ada sahaja artis lain yang mendapat peluang seperti itu,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 20 tahun ini memberitahu dia tidak ralat untuk menyediakan kos yang agak tinggi untuk penghasilan album mininya itu demi kepuasan

Baginya, dia perlu berani mengambil risiko demi sesebuah karya yang berkualiti apalagi album mini itu kelak merupakan buah tangan pertamanya untuk peminat.

“Saya berpegang pada kata-kata ayah, lebih baik gagal mencuba daripada tidak mencuba langsung,” jelasnya.