Berkata kepada Utusan Online, penerbit OlaBola The Musical itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius kecuali lebam-lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan.

“Sepanjang 12 tahun berjinak-jinak dengan sukan berkuda, ini merupakan kali ketiga saya terjatuh dan Alhamdulillah, tidak pernah mengalami kecederaan teruk.

“Selepas melakukan imbasan x-ray, syukurlah tak ada apa-apa dan semalam saya sudah boleh berjogging. Nasib baik saya pakai helmet dan bukan kepala yang jatuh dahulu. Kalau tak, mungkin teruk jadinya.

“Malah semua itu tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan aktiviti ini. Setiap kali selepas sembuh, saya pasti akan kembali beraksi. Ini adalah hobi selain dianggap sebagai satu senaman,” katanya yang bakal mengarahkan pementasan sulung teater OlaBola The Musical pada 18 Februari depan.

Menurutnya, mula-mula dia mahu diamkan sahaja mengenai kejadian tersebut daripada memberitahu suaminya, Tan Sri Mohd. Effendi Norwawi namun selepas mendapati dirinya tidak boleh berjalan, dia terpaksa akur.

Katanya, dia takut suami tidak benarkan lagi bermain kuda sebab dulu Mohd. Effendi sendiri pernah cedera parah dan patah tulang akibat terjatuh daripada kuda sehingga perlu melakukan pembedahan bagi merawat kecederaannya.

“Sekarang saya sudah kembali bekerja seperti biasa tetapi hanya di rumah sahaja. Esok baru masuk ke pejabat memandangkan pementasan teater OlaBola pun tak lama lagi akan bermula.

“Sesi latihan bersama-sama pelakon sudah pun dilakukan beberapa bulan lalu untuk memantapkan persembahan dan selain teruja, pada masa sama gementar untuk menantikan reaksi atau maklum balas audiens, apatah lagi ini merupakan kali pertama saya bergelar pengarah,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE