“Bidang ini menuntut keupayaan kepada kemahiran kritis dan analitis melalui ketelitian persepsi, ketajaman pengamatan, dan kehalusan sensitiviti berbeza dengan orientasi pengajian perbankan dan kewangan sebelum ini yang agak kasar skopnya,” katanya.

Beliau bukan setakat menjadi pensyarah tentang bidang perfileman, malah turut dikenali sebagai antara pengkritik filem tanah air yang disegani ramai kerana banyak menulis secara ilmiah tentang bidang yang memerlukan ketajaman fikiran itu.

Apatah lagi, beliau juga mempunyai kepakaran khusus tentang sejarah industri perfileman di peringkat global terutama selepas meneruskan pengajian peringkat sarjana dalam film studies, Anglo-Amerika yang mempunyai pengaruh yang amat besar di peringkat global.

Selain memilih sendiri bidang kerjayanya dalam bidang itu, dunia Dr. Norman dengan bidang perfileman juga sebenarnya telah bermula sejak beliau kecil lagi. Bapa beliau antara orang terawal yang mencetuskan inspirasi kepadanya dalam dunia itu.

“Saya memilih bidang ini kerana passion (keghairahan) saya terhadap wayang gambar sejak dari kecil lagi (ketika bersekolah rendah). Arwah bapa sayalah yang bertanggungjawab mencetuskan minat saya terhadap wayang gambar secara tidak langsung.

“Beliau sering membawa saya ke pawagam (di Sungai Petani, Kedah) untuk menemaninya menonton filem. Ketika berusia 10 tahun saya memberanikan diri mengunjungi pawagam seorang diri. Ia suatu eskapisme saya melupakan sejenak kerja sekolah,” ujarnya.

Beliau yang telah berkhidmat di UiTM sejak tahun 2004 juga bukan sekadar meminati bidang perfileman kerana minat yang mendalam, tetapi juga mahu menyumbang kepada pembangunan industri perfileman yang lebih tinggi di negara ini.

Dr. Norman yang mendapat pendidikan formal dalam bidang perfileman dari University of Kent, UK misalnya, mahu mengangkat industri ini melalui modal-modal insan yang dilahirkan saban tahun daripada institusi pengajian tinggi termasuklah di UiTM.

Ujarnya, pendidikan berkaitan perfileman di negara ini masih rendah berbanding beberapa negara jiran terutama dalam soal apresiasi dan juga golongan ‘celik filem’ yang mampu menilai, sekali gus menghayati karya-karya filem secara lebih mendalam.

“Pada pengamatan saya, tahap apresiasi filem (dalam kalangan mereka dalam industri tanah air dan di luar industri serta dalam kalangan khalayak masyarakat) secara umumnya masih lagi rendah dan perlu ditingkatkan.

“Kita masih ketinggalan berbanding negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina, dan Singapura yang mempunyai budaya filem memberangsangkan yang secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada pembangunan industri,” katanya.

Justeru, beliau optimis industri perfileman tempatan mampu ditingkatkan pada masa depan dengan adanya pelbagai jurusan yang memberi ilmu serta pendedahan kepada ramai pelajar dalam bidang itu di banyak institusi awam dan juga swasta.

Karyawan pelapis

Kata Dr. Norman, pendidikan perfileman (malah, pendidikan seni secara umum) tidak boleh hanya melahirkan bakat-bakat atau karyawan pelapis semata-mata, tetapi juga perlu membina khalayak masyarakat yang boleh mengapresiasi filem.

Tambahnya, industri ini boleh sahaja melahirkan begitu ramai graduan dengan bakat yang besar sebagai pelapis, namun jika dilihat pada keadaan sekarang dengan tabiat dan citarasa penontonan yang agak daif dan terbatas bakat-bakat ini tidak akan ke mana.

“Saya melihat cabaran ini lebih besar dan sukar berbanding cabaran melahirkan graduan-graduan dengan bakat-bakat pelapis yang disebutkan tadi. Ini berkaitan dengan usaha membina khalayak, yakni khalayak masyarakat yang ‘celik filem’.

“Khalayak yang celik filem ini bukan sahaja mereka yang bijak menilai dan menghayati filem-filem yang berkualiti, namun adalah juga mereka yang dapat memahami dan meraikan kepelbagaian filem dalam konteks ‘form’, stail, pendekatan dan genre,” jelasnya.

Pada masa sama beliau juga berharap agar golongan ‘celik filem’ bukan sahaja akan meningkat tetapi mereka yang mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang perfileman sepatutnya mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menyokong bidang tersebut.

Namun, dalam banyak hal ramai juga yang tidak mempunyai kepekaan dan kesedaran sosial dan budaya yang mana ia berbeza dengan masyarakat seperti di Korea Selatan dan Indonesia di mana golongan yang berpendidikan tinggi terlibat dalam membangunkan budaya filem.

Ia termasuk membina khalayak seperti kejayaan industri filem Korea Selatan hari ini (antara yang terkedepan di Asia) sebenarnya digerakkan dengan budaya filem yang menyemarakkannya melalui fenomena ‘cine-mania’.

“Dengan kemunculan sejumlah khalayak terutamanya dalam kalangan generasi muda yang cintakan filem secara tegar bermula era tahun 1990-an), selain sokongan dan bantuan pihak pemerintah.

“Di Indonesia juga contohnya, terdapat banyak komuniti filem. Hampir semua kampus universiti di sana ada Kine Club, yakni kelab tayangan filem. Di Jogjakarta sahaja terdapat lebih 100 kelab yang mengadakan tayangan filem, diskusi dan sebagainya,” katanya.

Justeru, Dr. Norman berharap bidang pendidikan perfileman yang beliau ceburi mampu membangunkan tahap ‘kecelikan filem’ melalui pelbagai aspek dan aktiviti yang dijalankan termasuklah di UiTM tempat beliau mencurahkan ilmu dalam bidang tersebut.