KUALA LUMPUR 06 DISEMBER 2017 - Majlis Pelancaran Single terbaru Janna Nick di Pusat Beli Belah One Utama, di sini hari ini.Gambar : Riduan Rizal AhmadPemberita : Aliff / Amir

Namun sebagai artis popular, pastinya ada harga yang perlu dibayar. Sama ada suka atau tidak, Janna harus mengakui kecaman dan kritikan negatif sering kali singgah dalam jendela hidupnya.

Apa sahaja yang dilakukan, pasti akan dikecam. Mahu atau tidak, dia perlu kuat dan sentiasa mencuba bertahan serta terus berusaha membuktikan dia bukan sekarang artis tempelan.

Pada usia 22 tahun, pelbagai kata-kata nista diterjah masuk ke dalam buku hidup seninya. Setiap kali berhadapan situasi getir itu, Janna mengakui, dia sentiasa bersikap positif.

Percaya dengan sokongan tiada berbelah bahagi peminat, anak kelahiran Kedah ini membulatkan semangat agar tiada pihak khususnya peminat kecewa. Dia perlu beri yang terbaik dalam setiap karyanya.

“Kalau kita asyik dengar apa orang komen dan kritik, sampai bila pun kita akan berada pada takuk lama. Kita sendiri yang menentukan arah jalan hidup kita. Apa yang penting kita sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.

“Saya akui tidak mudah untuk terus berada di puncak populariti namun kita juga harus yakin dengan kemampuan diri. Belajar dan terus belajar daripada kesilapan dan teguran.

“Ambil setiap kritikan sebagai pembakar semangat. Sama ada negatif atau positif, telan sahaja. Jangan mudah melenting dan tenang dalam berbicara. Itu kunci saya sebagai anak seni,” katanya memulakan bicara.

Diaju soalan mengapa dia memilih untuk tidak menjadikan kontroversi atau gimik tertentu bagi mempromosikan produk dan karyanya, dengan tenang Janna menjawab, dia tidak pernah diajar popular dengan cara itu.

Tidak menafikan publisiti adalah salah satu cara cepat untuk mempromosikan karya, namun, bagi Janna, dia lebih selesa untuk memperjudi nasib menerusi bakat dan sokongan peminat.

“Kalau ikutkan single pertama saya juga tidak dilancarkan secara rasmi. Tahu-tahu sahaja sudah ada di radio. Saya dari dahulu lagi tidak menggunakan medium tular ini untuk promosi diri. Sekiranya kita sentiasa belajar untuk menjadi yang terbaik, sokongan dan perhatian peminat akan hadir dengan sendirinya. Kalau saya hendak buat kisah cinta sebagai kaedah promosi, sudah lama buat.

“Saya yakin ketulenan peminat Janna Nick yang lebih dikenali sebagai Jannanickers. Mereka kenal siapa saya dan menyokong perjalanan seni saya bukan kerana kontroversi,” katanya yang bersyukur kerana hasrat untuk memiliki rumah sendiri sudah tercapai.

Didakwa sengaja mencipta kontroversi apabila Instagramnya digodam baru-baru ini, seraya tertawa kecil, Janna berpendapat, itu strategi yang tidak mungkin akan dilakukannya.

“Kalau saya sengaja godam Instagram sendiri, saya akan hilang lebih 120,000 pengikut. Bukan sedikit jumlah tersebut tau. Sebagai artis, Instagram bukan sahaja media sosial tetapi juga profil kita.

“Memang sedih bila perkara itu terjadi tetapi saya anggap ini adalah dugaan saya sebagai anak seni. Kita kena sentiasa percaya dengan hikmah di sebalik setiap yang berlaku,” katanya.

Baru melancarkan single keduanya, Akan Bercinta hasil ciptaan sepenuhnya Aepul (Drama Band), Janna memperlihat peningkatan ketara khususnya dari segi vokalnya yang semakin baik.

Mengakui ada menghadiri kelas vokal bersama Mark Adam, pelakon Aku Kau Dia ini mendedahkan, dia banyak berlatih dan belajar bagaimana untuk menyanyi dengan lebih baik semuanya kerana peminat.

“Saya tahu ramai yang kecam dan kritik saya tak boleh menyanyi. Saya tak patah semangat sebaliknya ambil kelas vokal dan perbaiki kualiti nyanyian saya. Mungkin dengan cara itu, mereka yang mengecam akan mula terima kesungguhan saya.

“Syukur Aepul banyak membantu. Saya mengalami demam sehingga dimasukkan ke hospital dan kualiti suara saya memang agak mengecewakan. Tapi Aepul tetap bersabar dan membantu.

“Lantaran terlalu sibuk, saya terpaksa menangguhkan sesi rakaman sampai tiga kali. Kadang-kadang, balik sahaja dari set penggambaran, saya terus ke studio rakaman untuk merakam lagu Akan Bercinta,” katanya.

Mengorak langkah setapak ke hadapan apabila mengarah sendiri video muziknya, Janna sememangnya meletakkan impian untuk bergelar seorang pengarah dan produser yang berjaya seperti Sheila Rusly.

Mengakui terpaksa melalui pelbagai cabaran apabila pertama kali mengarah, penyanyi lagu Mungkin Saja ini mengambil setiap kesukaran dan kepayahan sebagai guru untuk dia terus berjaya.

“Memang segalanya berlaku dengan tergesa-gesa kerana saya terlalu sibuk. Saya banyak dibantu oleh kru produksi yang sangat hebat dalam kerja masing-masing. Kerana itu, semua kerja jadi mudah.

“Satu pengalaman yang sangat manis dan percubaan yang baik. Kalau boleh saya hendak mengarah bukan sahaja video muzik saya, tetapi artis lain juga. Saya boleh belajar banyak lagi.

“Memang puas hati dengan arahan pertama saya. Bermula dari konsep, jalan cerita sehinggalah pemilihan pelakon tambahan, memang saya perah otak sendiri untuk menghasilkan yang terbaik,” katanya.