Studio Jalan Ampas, Singapura, menjadi saksi era kegemilangan filem-filem tempatan. Malah, generasi ketika itu ramai yang diangkat menjadi seniman dan seniwati kini.

Baru-baru ini, seniwati negara, Mariani berkunjung ke studio tersebut dan nyata, khazanah itu menyimpul seribu satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Malah, Mariani atau lebih mesra disapa dengan nama Mummy memberitahu, saat dia menjejakkan kaki sahaja ke studio itu, dia sudah mula berasa sebak.

“Memang apa yang dirasakan ketika itu perasaan sebak yang sangat mendalam. Saya tidak tahu kenapa saya tiba-tiba berasa sayu. Ini bukan kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ.

“Malah hampir setiap tahun saya datang ke Singapura bertemu rakan-rakan, sudah pasti akan dicuri sedikit masa untuk ke sini. Setiap kali menjejakkan kaki di situ, hati saya pasti sebak dan hiba mengenangkan zaman kegemilangan itu,” jelasnya.

Bagi Mummy, lokasi itu bukan sekadar sebuah studio, tetapi lebih daripada itu. Ia tempat berkarya, bermasyarakat dan bermacam lagi kerenah dilakukan di situ.

Malah, jelas Mummy, agak keterlaluan untuk dia katakan bahawa pada waktu itu, tiada kenangan pahit langsung sepanjang dia berada di studio Jalan Ampas.

Seniwati ini turut bersyukur kerana sepanjang dia berada di sana, Studio Jalan Ampas dipelihara dengan baik dan bertambah cantik kini.

“Sekarang sudah cantik. Bangunan dan isi dalam telah dipelihara dengan baik,” jelasnya.

Mengenang kembali zaman kegemilangan, jelas Mummy, dahulu pelakon dilayan dengan baik sehinggakan tidak perlu untuk mereka keluar daripada kawasan studio.

“Pernah sekali saya keluar daripada studio untuk membeli-belah di kawasan luar. Namun apa yang terjadi memang tidak dijangka.

“Bila saya sudah keluar dan kembali semula ke studio, pakaian saya habis koyak rabak dan kusut. Pihak studio bertanya kenapa.

“Apa yang terjadi sebenarnya, ketika saya keluar, masyarakat terkejut dengan kehadiran saya dan berpusu-pusu mengelilingi saya hingga hendak berjalan pun agak sukar,” jelasnya.

Setelah mengetahui tentang perkara itu, jelas Mariani, pihak studio akhirnya membuat keputusan untuk memanggil butik ke studio sekiranya ada yang ingin membeli belah atau sebagainya.

Sampai begitu sekali jelas Mariani penangan industri filem ketika itu. Sangat berpengaruh dan begitu gemilang sekali.

Kehadiran Mariani ke lokasi kenangan itu turut dihadiri oleh anaknya, Melissa Saila.

Menurut Melissa, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk berkunjung ke Studio Jalan Ampas namun baru-baru ini barulah berpeluang.

“Saya memang hendak ke sana. Kebetulan, baru-baru ini kami berada di Singapura dan Mummy juga mahu pergi melawat Studio Jalan Ampas.

“Kehadiran saya sebenarnya adalah untuk mengambil semangat perjuangan filem penggiat seni kita terdahulu,” jelasnya.

Tambahnya, melihat sendiri kepayahan penggiat seni dahulu mengangkat karya seni negara ke peringkat yang tinggi adalah satu perjuangan yang tidak boleh dilupakan.

Sempat bertanya kepada Mummy, apa pesanan dia kepada Melissa, jelas seniwati itu, antara pesanannya, jangan sampai dilupakan kenangan, warisan dan perjuangan Studio Jalan Ampas.

Meneliti ke setiap sudut ruang di dalam kawasan Studio Jalan Ampas, jelas Mariani, dia sentiasa teringat rakan-rakan seperjuangannya dahulu.

“Dahulu ramai rakan, tetapi sekarang ramai juga yang sudah tiada. Satu persatu pergi mengadap Ilahi.

“Memang sedih apatah lagi kita melawat ke sebuah tempat yang menyimpan semua kenangan itu. Tetapi perlulah redha menerima kenyataan,” jelasnya.

Ditanya tidakkah ada perjumpaan generasi Studio Jalan Ampas yang ada kini untuk mengadakan lawatan ke tempat kenangan itu, jelas Mariani, buat masa ini tidak.

“Kami rakan-rakan yang pernah bekerja di Studio Jalan Ampas, tidak pernah terputus hubungan. Pemergian rakan-rakan membuatkan kami lebih rapat.

“Sebelum ini ada perancangan untuk pergi ke Studio Jalan Ampas bersama dengan rakan-rakan lain untuk meraikan sambutan kelahiran Allahyarham Datuk Mustapha Maarof,” jelasnya.

Namun, jelas Mariani, ia tidak kesampaian apabila Allah lebih menyayangi seniman itu yang akhirnya meninggalkan mereka terlebih dahulu.

“Selepas pemergian Allahyarham, rancangan itu dibatalkan dan sehingga kini, belum ada perancangan untuk melawat ke Studio Jalan Ampas beramai-ramai,” jelasnya.

Jelas Mariani, dia sedaya upaya mahu mengumpulkan semula generasi Studio Jalan Ampas tetapi apakan daya, kudratnya kini semakin dimamah usia.

“Generasi kami semuanya sudah berusia. Jadi kemampuan untuk ke hulu ke hilir juga semakin terhad.

“Apa yang saya harapkan, ada pihak yang boleh mengaturkan perjumpaan generasi Studio Jalan Ampas di sana dan itu pasti akan menjadi sesuatu yang bermakna,” jelasnya.