Integriti menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah kejujuran dan ketulusan, kesempurnaan serta keutuhan. Penggiat seni misalnya, boleh menggunakan pengaruh yang ada bagi menyebarluaskan budaya berintegriti dalam kalangan rakyat negara masa kini.

Selebriti serba boleh, Datuk Afdlin Shauki mengakui, kepentingan nilai-nilai integriti untuk disalurkan melalui komedi amat meluas dan boleh dijadikan contoh kepada masyarakat berbilang bangsa.

Namun katanya yang ditemui pada majlis Komedi Berdiri Intergriti baru-baru ini, jangan pula ‘dilacurkan’ peluang dan ruang yang ada dengan cara semberono tanpa memikirkan keaslian sumber komedi yang diperoleh.

“Mencuri atau memplagiat merupakan salah satu isu berat dalam integriti yang wujud dalam industri tanah air. Kalau sekadar ambil hak orang lain, lebih baik melawak di rumah sahaja.

“Kerja mencuri hasil keringat orang lain dan mengambil keuntungan atas angin itu maksudnya memplagiat hak asli pelawak lain. Nak jadi pelawak kena ada integriti yang betul barulah dapat bertahan lama,” ujarnya.

Afdlin yang juga seorang pelawak, pengarah dan pelakon turut memberikan pandangannya apabila isu seumpama itu kebanyakannya terjadi kepada pelawak muda.

“Saya tak nafikan, pelawak baharu misalnya, mereka kena ikut pelawak yang banyak pengalaman untuk kekal relevan.

“Tapi tak semestinya tiru bulat-bulat sampai tahap plagiat. Bahan dan isi kandungan yang nak disampaikan kepada penonton kena daripada idea sendiri barulah ada integriti,” tegasnya.

Tidak hanya tertumpu kepada lawak komedi sahaja, Afdlin yang pernah mengarahkan filem popular seperti Papadom dan Baik Punya Cilok juga menyeru agar produksi perfileman tidak hanya mengejar keuntungan dan membelakangkan kualiti sesuatu karya.

“Secara jujurnya ada saja pelakon yang berlakon sebab nak kumpul wang ringgit. Namun saya percaya ada juga sesetengah pelakon yang jujur dengan minatnya dan buat kerja dengan ikhlas.

“Kalau semua karya dihasilkan secara ala kadar, di mana integriti perfileman? Sudahlah buat kerja sambil lewa dan ala kadar hanya kerana nak dapat pulangan lumayan dengan cepat serta mudah.

“Di mana kepuasan yang dicari selama bersusah payah menghasilkan karya? Ini tidak, berkarya untuk wang sahaja,” luahnya.

Sebagai seorang yang dikenali ramai, Afdlin, 46, juga tidak ketinggalan menggunakan platform media sosial menyebarkan kesedaran positif kepada pengikutnya.

“Seorang pelawak hanya nak berlawak sahaja. Komedi memerlukan konteks yang tidak menjerumus ke arah fitnah. Kami tidak membuat fitnah.

“Integriti sebenarnya perkara subjektif bergantung siapa anda. Saya gunakan medium media sosial untuk beri kesedaran terhadap masyarakat dan penggiat seni mengenai isu integriti,” katanya penuh dedikasi.

Kembali mengarah

EMPAT tahun tidak duduk di kerusi pengarahan, Afdlin akui, sedikit gementar untuk mengarahkan filem baharunya berjudul Sandakan Tears.

Sungguhpun naskhah itu masih lagi dalam peringkat draf, namun filem yang bakal menelan belanja RM67.2 juta itu dijangka menjalani penggambaran di Sabah dan Australia.

“Sejujurnya saya gementar juga kerana sudah empat tahun tak mengarah sebarang filem tetapi itu bukan satu alasan kerana saya mempunyai tanggungjawab besar untuk merealisasikan karya itu ke layar perak.

“Jika semuanya berjalan lancar saya yakin filem ini mempunyai potensi besar bukan sahaja untuk pasaran antarabangsa malah memberi peluang lebih besar untuk memperkenal industri perfileman tempatan di luar negara.

“Saya sukakan cabaran dan projek seperti ini yang akan memberi pengalaman baharu buat saya,” tutur pemenang Aktor Terbaik Festival Filem Malaysia 2001, 2006 dan 2009 bagi filem Soal Hati, Buli Balik dan Papadom.

Sandakan Tears bakal mengangkat kisah tentang tentera dari Britian dan Australia yang terkorban selepas dipaksa oleh tentera Jepun untuk berjalan kaki dari Sandakan ke Ranau sejauh 140 kilometer.

“Saya sasarkan filem ini untuk ke Hollywood dan saya banyak membuat rujukan sebelum merealisasikannya ke layar lebar.

“Saya harap semua dipermudah dan filem ini mampu menaikkan nama Malaysia pada mata dunia. Itu sasaran saya,” katanya penuh yakin.