Namun, bolehkah artis-artis tular ini bertahan lama dalam industri? Adakah bakat mereka menepati piawaian untuk menjadi artis atau sekadar mengharapkan populariti sepantas kilat yang diperoleh?

HITS sempat mendapatkan pandangan daripada penyanyi popular, Ringgo yang sudah hampir 30 tahun dalam industri seni suara. Ringgo, bekas vokalis kumpulan Arrow yang kini lebih selesa dipanggil Zain, melihat situasi ini ada positif dan negatifnya.

“Sebelum jadi penyanyi saya selalu membuat persembahan di kaki-kaki lima. Jadi saya tahu betapa sukarnya dan pahit getir yang dilalui untuk menjadi penyanyi. Tidak mudah jika hendak dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi sekarang yang mempunyai banyak platform atau medium untuk dikenali.

“Dulu tidak ada program realiti televisyen, YouTube atau media sosial seperti Instagram dan Facebook. Jadi, situasi ini memaksa artis generasi saya bekerja keras dan perlu pastikan betul-betul berbakat sebelum mencuba nasib dalam bidang seni.

“Disebabkan itulah saya dan ramai artis sezaman boleh kekal relevan hingga ke hari ini. Kami bermula dari bawah dan mengambil masa yang sukar untuk dikenali, namun kesannya berpanjangan. Kami juga menitikberatkan kualiti dalam karya-karya yang dihasilkan,” kata Ringgo.

Dalam masa sama, dia mengganggap artis tular sebenarnya bertuah kerana tidak perlu melalui fasa yang sukar untuk dikenali.

“Bercakap pasal tular ini ada baik dan buruknya. Artis tidak memerlukan masa yang panjang untuk popular. Cari sesuatu yang boleh membuatkan mereka tular, secara tak langsung karya yang dibawakan mereka turut diberi perhatian dalam masa yang singkat dalam mana-mana media sosial. Jadi mereka tidak perlukan rangka promosi yang memakan bajet besar.

“Namun, yang negatifnya apabila artis tular itu hanyut dalam populariti dan tidak memantapkan bakat mereka. Ingatlah pesanan saya, jangan hanya mengharapkan tular tanpa berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri.

“Misalnya, kalau artis yang tular itu diundang untuk menjayakan persembahan, apakah reaksi penonton apabila melihat anda tidak menyanyi dengan baik? Adakah mereka berasa berbaloi membeli tiket atau datang dari jauh? Tidak kan?

“Jadi, teruskanlah populariti anda dengan memantapkan bakat yang ada,” kata Ringgo yang sejak beberapa tahun lalu membuka sebuah kedai makan di Puchong, Selangor.

Hargai orang sekeliling

Ringgo atau nama sebenarnya Mohd. Zain Ramli, 49, juga akui tanpa orang sekeliling seperti keluarga, orang belakang tabir dan peminat, seseorang artis tidak akan ke mana.

“Jangan artis mengakui populariti yang diraih disebabkan diri mereka sendiri, sama sekali tidak. Tanpa orang sekeliling yang berkorban masa, tenaga dan wang, siapalah seorang artis itu. Jadi hargailah mereka dengan cara anda.

“Apabila anda hargai keluarga, kongsilah rezeki dengan mereka. Begitu juga dengan media yang menjadi ‘tulang belakang’ kerjaya artis, hargai mereka dengan memberikan kerjasama terbaik. Jangan sesekali sombong, anda tidak akan ke mana pun dengan sikap sebegitu.

“Apabila bersama peminat, janganlah kedekut ‘belanja’ lagu. Kalau penganjur minta tiga lagu, tidak salah nyanyikan lagu tambahan buat peminat yang hadir,” luah Ringgo yang pernah menjadi naib johan dalam pertandingan Kilauan Emas 2014.

Ringgo pernah melalui zaman kegemilangannya bersama kumpulan Arrow. Antara lagu popular mereka yang masih menjadi siulan sehingga kini adalah Aku Tak Marah, Selimutkanku Dengan Asmaramu, Ku Doa Agar Kau Bahagia dan Niat Hati Tak Nak Berpisah.