Selepas kemuncak drama Nur lakonan Syafiq Kyle dan Amyra Rosli pada Ramadan lalu, kini siri Jangan Benci Cintaku turut menerima tempias yang sama.

Drama 28 episod yang berakhir Selasa lalu bukan sahaja berjaya menjentik naluri wanita bergelar isteri tetapi turut mendapat tempat di hati penonton lelaki.

Dasar cerita ini tidak banyak berbeza dengan drama lain yang diangkat dari novel. Kisah rumah tangga ini bermula dengan dugaan kebencian seorang nenek dan kehadiran seorang wanita lain dalam merebut cinta seorang lelaki yang telah bergelar suami.

Namun yang membuatkan drama Jangan Benci Cintaku terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. menjadi perhatian audiens apabila watak antagonis, Husna yang dilakonkan aktres Niena Baharun dan Nek Pah (Azizah Mahzan) berjaya mewujudkan satu kumpulan penonton yang taksub dengan watak-watak tersebut, sekali gus menjadikan drama ini fenomena baharu dalam laman sosial hingga mampu mencipta rating terkumpul sebanyak 12 juta penonton untuk keseluruhan episodnya.

Tak tolak watak jahat

Selama ini pelakon cantik Zahirah Macwilson sinonim dengan watak-watak wanita lembut dan teraniaya malah tidak pernah diberi peluang membawakan karakter yang mengundang kecaman penonton.

Namun bagi Zahirah, dia bersedia menerima sebarang tawaran untuk melakonkan watak yang berlawanan dari kebiasaan kerana ingin mendapatkan pengalaman berbeza.

“Saya tidak pernah menerima tawaran berlakon watak antagonis. Jika diberi peluang, saya pasti tidak menolaknya kerana itu dapat mempelbagai dan memantapkan kaedah lakonan saya.

“Lagipun saya kembali ke Malaysia tiga tahun lepas dengan tujuan untuk bekerja sebagai pelakon.

“Justeru, sebarang watak yang diberi perlu saya ambil mengikut kesesuaian skrip dan jalan ceritanya,” kata pelakon yang membawakan watak Fika dalam drama Jangan Benci Cintaku ini.

Azizah sudah biasa watak antagonis

Bagi pelakon senior Azizah Mahzan yang dikecam warganet apabila memainkan watak sebagai Nek Pah, dia tidak melihat karakter antagonis yang dibenci oleh ramai itu memberi kesan kepada dirinya.

“Sepanjang bergelar pelakon, rasanya sebanyak 80 peratus lakonan saya ialah membawakan watak antagonis yang dominan. Jadi saya sudah tidak rasa apa-apa sekiranya orang benci dengan lakonan saya.

“Tak perlu takut pun kalau orang marah sebab itu sekadar lakonan. Realitinya ialah kamu kenal diri kamu siapa. Namanya pun berlakon.

“Saya tidak memilih untuk hanya mengambil watak tertentu kerana itu kepercayaan orang kepada saya.

“Kalau kita dipilih membawakan watak antagonis, kita menyamar dengan watak tersebut sebaik mungkin dan kita suntik jiwa ke dalamnya,” kata Azizah.

Malah aktres itu berkata, para pelakon baharu juga tidak perlu rasa bimbang dikecam sekiranya diberi peluang membawakan watak antagonis.

“Kita sekadar menjadi orang jahat dalam satu-satu permainan dan kita bukan orang yang sama seperti watak ciptaan kita itu selepas selesai berlakon,” katanya yang gemar menonton filem Eropah bagi mencari kelainan dalam setiap karakter yang dibawakan.

Ambil mesej dalam drama – Saharul

Meskipun teruk dikecam, Saharul Ridzwan tetap meluahkan rasa syukur kerana gabungan ideanya bersama-sama pengarah, Pali Yahya, membuahkan hasil.

“Saya tak jangka menerima sambutan seperti ini. Untuk watak Shah, kami ada berbincang dan setuju untuk menjadikannya sebagai watak hero yang dibenci.

“Saya bersyukur kerana rancangan saya dan Pali menjadi. Sebenarnya idea pembentukan watak Shah itu agak lari jauh daripada cerita asal novel dan ramai juga yang pertikai kenapa sangat berbeza,” jelasnya.

Ditanya mengenai kecaman dan kebencian penonton, Saharul tidak memandang itu sebagai suatu yang negatif malah berharap agar penonton dan masyarakat memandang perkara itu secara positif dan mengambil pengajaran daripadanya.

“Sejujurnya, saya tiada masalah berdepan isu kecaman dan kebencian penonton terhadap watak lakonan saya. Sebagai seorang pelakon, itu menandakan lakonan saya menjadi dan memberi kesan kepada penonton.

“Cuma yang ingin saya kongsikan, saya juga mahu penonton dan masyarakat kita mengambil mesej yang sarat dimasukkan dalam drama ini.

“Ini adalah kisah yang memang terjadi dalam masyarakat kita dan dihasilkan dengan selitan mesej berguna,” ujarnya.

Warganet nak rampas suami Niena

Menerima kecaman paling teruk gara-gara watak Husna, Niena Baharun akui, terbit rasa takut dan risau apabila keluar ke tempat awam secara bersendirian.

“Kecaman yang paling ‘menarik’ tapi teruk apabila seorang warganet menghantar mesej peribadi kepada saya dan memarahi saya kerana babak Husna memijak perut Fika dalam drama tersebut.

“Dia mengugut untuk memijak perut saya sekiranya dia berjumpa saya di luar. Dia juga beritahu ingin bermadu dengan saya dan merampas suami saya.

“Memandangkan itu adalah kecaman yang agak menakutkan, saya mengambil tindakan menyekat akaun tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Niena menjelaskan bahawa suaminya, Alif Firdaus tidak pernah menghalangnya terus membawa watak antagonis jika diberikan tawaran lain kelak.

Malah suaminya sentiasa menasihatkannya agar tidak terlalu memikirkan kecaman yang diterima.

“Pada awalnya, suami dan mentua tidak tahu mengenai drama tersebut kerana mereka tidak menonton televisyen. Saya juga tidak pernah bercerita dengan suami tentang watak Husna. Namun mereka dihujani pertanyaan daripada rakan-rakan mengenainya.

“Suami saya seorang yang tenang. Begitu juga ketika berdepan situasi ini. Dia banyak menasihatkan saya agar tidak tertekan dan tidak ambil serius dengan kecaman orang. Sekiranya diberikan watak begitu lagi (antagonis), tiada halangan daripada suami memandangkan dia faham tugas saya sebagai pelakon,” jelasnya.

Ubah penamat

Melihat kekuatan watak Husna itu sendiri, pengarahnya Fazli Yahya atau Pali tidak melihat perlu ada diskriminasi dalam memilih pelakon untuk membawakan watak antagonis.

“Wanita bertudung juga mempunyai perasaan. Tidak timbul hanya wanita tidak mengenakan tudung sahaja layak membawakan watak antagonis.

“Dalam hal ini kita perlu realistik, maksudnya apa yang berlaku di sekeliling kita adalah apa yang dipaparkan dalam drama tersebut.

“Sebab itu watak Husna diterima dengan baik oleh penonton kerana karakter itu juga ‘hidup’ dalam kalangan penonton,” kata Pali.

Mengakui bukan sesuatu yang mudah walaupun drama tersebut adalah adaptasi daripada novel, jelas Pali, dia mengadakan perbincangan dengan setiap pelakon untuk menjayakan setiap bahagian dalam drama tersebut.

“Selalu kita mengangkat watak hero, kali ini memang saya rancang untuk membuatkan penonton membenci watak yang dilakonkan oleh Saharul.

“Saya turut mengubah hampir 30 peratus jalan cerita asal dalam usaha untuk mengembangkan watak dalam drama ini,” katanya.

Mahu terbit musim kedua

Tidak menjangkakan drama terbitannya mendapat tempat di hati peminat, Datuk Rosyam Nor berkata, sebagai penerbit dia tidak mempunyai formula untuk memastikan setiap naskhah menjadi fenomena, namun yakin watak Husna dan Nek Pah merupakan pencetus tarikan kerana watak tersebut cukup dekat dengan penonton.

“Selama 36 tahun dalam industri, saya tidak boleh agak drama atau filem mana yang boleh dapat sambutan tetapi dalam setiap karya kita ingin memberikan pengajaran.

“Mungkin drama Jangan Benci Cintaku ini memaparkan jalan cerita yang dekat, wujud dan berlaku dalam masyarakat dan dalam drama ini watak Husna dilihat begitu dekat dengan penonton.

“Walaupun lebih kepada kebencian, yang boleh saya katakan watak itu sendiri sebenarnya adalah refleksi masyarakat kita.

“Mungkin dalam kehidupan kita akan selalu berjumpa dengan watak seperti Husna tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada penghujung hidup mereka dan drama ini umpama melempias keinginan khalayak untuk melihat pengakhiran kejahatan watak itu,” jelasnya.

Ingin diberi peluang untuk meneruskan drama ini untuk musim kedua, Rosyam sendiri sudah melihat kemampuan pihaknya untuk mengolah jalan cerita agar lebih menarik.

“Jika diberi peluang saya tidak mahu menolak tetapi perlu ada jalan cerita yang lebih kuat dan lebih menarik. Malah saya juga mahu bekerjasama dengan penulis novel itu sendiri agar boleh melancarkan drama ini dan novel sekali gus,” kongsinya.