Menurut Jamal, ini kerana, sepanjang sedekad bergelar duda, beliau tidak menyimpan sebarang hasrat untuk kembali berumah tangga kerana kegagalan tiga perkahwinan terdahulu masih terasa.

Namun, sebagai umat Islam, Jamal, 59, berkata, beliau tidak mampu menolak aturan Allah yang menemukannya dengan Datin Zai Izzati Khiruddin, 24. yang disifatkan penyanyi itu sebagai isteri, kekasih dan teman paling akrab yang begitu menyayanginya.

“Allah telah memberikan saya ketenangan menerusi perkahwinan ini. Walaupun sebelum ini saya tak fikir nak kahwin lagi tetapi kehadiran Zai Izzati banyak mengubah pandangan saya mengenai kebahagiaan berumah tangga. Saya sangat-sangat bersyukur,” kata Jamal kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Semalam, juara Bintang RTM 1979 itu buat kali pertama memperkenalkan Zai Izzati yang dinikahinya pada 1 April tahun lalu kepada wartawan.

Sepanjang 11 bulan pernikahan mereka, penghibur kesa­yangan ramai itu memilih untuk tidak berkongsi berita gembira itu dengan orang ramai.

Sehubungan itu, Jamal memberitahu, keterbukaan Osama menerima kehadiran Zai Izzati sebagai ibu tiri amat disyukurinya.

“Osama sangat okey dan dia boleh menerima kehadiran Zai Izzati. Keterbukaan Osama serta ahli keluarga yang lain amat-amat menggembirakan saya,” kata Jamal lagi.

Selain Osama yang merupakan anak daripada perkahwinan kedua dengan Noraina Mohd Yusof, Jamal juga mempunyai seorang lagi cahaya mata, Ahmad Zaki Yamani, 11, menerusi perkahwinan ketiga dengan Fatimatuhzahrah Samad.

Perkahwinan pertama Jamal ialah dengan Basariah Abdul Latiff.

Dalam perbualan dengan Utusan Malaysia juga, Jamal berkongsi kegembiraan yang sedang dinikmatinya selepas menikahi Zai Izzati wanita yang langsung tidak dikenalinya sebelum berkahwin.