Pelakon filem Jimi Asmara itu juga memberitahu selesa berkawan dengan wanita itu dan tidak menolak untuk mendirikan rumah tangga. 

Bagaimanapun aktor berusia 63 tahun itu mahu memikirkan soal berkahwin hanya selepas genap setahun pemergian isterinya, Datin Hasimah Mat Ehsan yang meninggal dunia November tahun lalu. 

"Bila kehilangan arwah,  hidup saya seolah tidak bererti lagi.  Hidup mesti diteruskan. Selama ini saya hidup dengan arwah isteri dah 40 tahun dan tidak pernah kenal dengan mana-mana wanita.

"Semasa saya buat solat sunat stikarah,  saya terlihat bayangan ciri-ciri arwah isteri ada pada wanita itu. 

"Anak-anak tidak menghalang malah turut menasihati saya untuk berkahwin lagi kerana tahu tentang keadan diri yang memerlukan seseorang untuk menjaga saya. 

"Malah tiap kali ayah (Tan Sri Hassan Azhari)  jumpa saya,  dia akan menangis menyuruh untuk buka pintu hati untuk orang lain," katanya kepada UTUSAN ONLINE. 

Wanita yang dikenali sebagai YR itu berasal dari Serkam,  Melaka dan merupakan ibu tunggal kepada empat orang cahaya mata. 

Menurut Jalaludin lagi,  dia tidak merancang untuk mengadakan majlis besar-besaran, cukup hanya yang wajib sahaja. 

"Insyallah,  kalau jodoh kami panjang,  saya tak berhajat nak buat majlis yang besar. Sederhana cukuplah dan dahulukan perkara wajib. 

"Saya bertemu kali pertama dengannya pada acara rumah terbuka Aidilfitri lalu atas undangn teman rapat.  Rupa-rupanya dia adik kepada rakan baik saya.

"Kalau boleh ayah nak saya kahwin bulan ini (Oktober)  tapi saya mohon padanya untuk cukupkan setahun pemergian arwah isteri kemudian baru lah fikir langkah seterusnya, " ulasnya.

Minggu lalu, Jalaluddin dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu sesak nafas selepas diundang menjadi tetamu bagi program bual bicara saluran TV Alhijrah, Assalammualaikum.-UTUSAN ONLINE