Sering kali dihujani soalan-soalan panas, dia tidak melatah. Tanyalah apa sahaja, dia tenang membalas setiap persoalan. Malah, dia juga langsung tidak mengendahkan setiap kata-kata nista netizen yang mengutuk dan meragui kehebatannya.

Punya impian menakluk pasaran muzik Indonesia, Ayda Jebat kini bersedia. Bakal melancarkan single pertama, Pencuri Hati di negara seberang, gadis cantik berusia 24 tahun ini sejujurnya berharap rezeki berpihak kepadanya.

Menariknya, dia bakal tampil dengan genre dangdut. Ditanya adakah niatnya untuk mencuri hati rakyat negara republik itu yang sememangnya gilakan dangdut, dia tidak menolak persepsi itu.

“Saya bukan tidak yakin membawa genre asal ke sana. Lagu Pencuri Hati ini sebenarnya cukup besar. Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu dan lagu ini juga boleh divariasikan dalam pelbagai genre seperti dangdut.

“Saya akan ke Jakarta pada awal Oktober depan. Sejurus selepas Anugerah Planet Muzik. Saya betul-betul mengharapkan peminat dapat menerima lagu ini dan semoga ada rezeki untuk saya kembang bakat di sana,” kata anak kelahiran Melaka ini.

Semua sedia maklum pelakon yang mula meningkat naik menerusi drama Rindu Awak 200% ini mempunyai rangkaian peminat yang besar di Indonesia.

Malah, kegilaan peminat terhadap Ayda sememangnya boleh bikin histeria.

Namun, kelebihan itu tidak memberi ketenangan dalam hati penyanyi Siapa Diriku ini.

Jelasnya, biarpun peminatnya ramai di sana tetapi untuk menakluk pasaran muzik, memerlukan usaha dan tuah.

“Saya sebenarnya tidak mempunyai perancangan atau strategi luar biasa bagi menembusi pasaran sana. Saya cuma boleh mencuba sehabis baik dan mengharapkan 
rezeki. Kalau hendak jadi seperti Datuk Siti Nurhaliza itu, mungkin susah sikit. Sebab dia banyak lagu, saya ada satu ini sahaja.

“Ada juga yang bertanya, adakah saya akan kekal dalam genre dangdut. Jawapannya, mungkin tidak. Saya mencuba sahaja. Kita ketengahkan kelebihan lagu Pencuri Hati ini. Mana tahu hati semua peminat di sana akan saya ‘curi’?” ujar pelakon Assalamualaikum Cinta ini.

Bakal tampil menerusi filem pertamanya, Pinjamkan Hatiku, ada ura-ura mengatakan pelakon ini akan memperlahankan karier lakonan demi nyanyian. Malah, dia juga sudah mula bersikap memilih dengan mencari naskhah dan produksi terbaik sahaja.

“Kalau hendak kata kurangkan itu, ada benarnya. Saya mungkin akan memilih satu drama atau filem dalam tempoh setahun. Sebelum ini, saya tiada masa untuk fokus bidang nyanyian. Cuma kalau ada masa terluang, saya akan tulis lirik dan mencari melodi yang terbaik bagi single seterusnya.

“Memilih itu banyak maksudnya, Sebagai pelakon, saya mesti mahu yang terbaik untuk profil kerjaya seni saya. Tidak boleh lagi main serkap jarang dan ambil sahaja 
tawaran tanpa berfikir panjang,” katanya. - Oleh ALIF FADLI MOHD. SORI