Rosyam Nor

Katanya, David perlu mengikut pe­patah Me­layu iaitu ‘masuk kandang kam­bing me­ngembik, ma­suk kandang kerbau me­nguak’ supaya in­­si­den yang berlaku di kediaman rasmi Perdana Menteri itu tidak berulang lagi.

“Pepatah itu bermaksud, jika kita berada di tempat orang, kita harus ikut adab atau peraturan di situ.

“Namun sebaliknya berlaku apabila David bertindak mempertikaikan cara pengendalian majlis. Nasib baik saya boleh tahan marah dan kembali mengawal keadaan,” katanya.

Rosyam mengulas me­nge­nai insiden David ditampar oleh pelawak Mat Over atau Sulaiman Yassin pada majlis berkenaan yang dianjurkan untuk penggiat seni tempatan.

Tambahnya, beliau juga berasa terkilan kerana insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku setelah pemimpin nombor satu negara memberi peluang kepada anak seni berdialog secara bersemuka dengannya di rumahnya.

“Bagaimanapun, Perdana Men­teri ada beritahu bahawa beliau suka cara saya mengendalikan sesi dialog itu dan juga idea-idea yang dilontarkan oleh penggiat seni,” katanya.

Ditanya bagaimana beliau dilihat masih tenang ketika insiden itu berlaku, Rosyam bersyukur pengalaman dalam dunia seni mematangkan dirinya pada hari ini.

“Saya bukan baharu jadi pengacara dan sudah lama dalam dunia seni. Syukur kepada Allah SWT sebab memberi kematangan dalam diri walaupun orang lain belum tentu dapat menanganinya,” ujarnya.