Jadual penggambaran yang padat di Alor Setar, Kedah diiringi pula dengan tuntutan sebagai pengacara program Nona pada setiap Selasa di Kuala Lumpur, itu antara perkara yang perlu dilaksanakan oleh Mira pada setiap minggu.

“Jadi sekarang ini saya perlu berulang-alik dari Kedah ke Kuala Lumpur kerana rakaman Nona hanya dilakukan pada hari Selasa. Di Kedah pula, saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Lelaki Kiriman Tuhan sehingga berakhir hujung September ini,” katanya.

Justeru bagi Mira Filzah atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, 25, kesibukan yang bakal menunggunya selepas jadual penggambaran tamat pula tidak memungkinkan baginya untuk memikirkan soal jodoh atau perkahwinan.

Usai penggambaran di Kedah, jadual penggambaran seterusnya sudah menanti di Kuala Lumpur dengan beraksi bagi sebuah drama bersiri berjudul Pujaan Hati Kanda, sekali gus mempromosikan filem lakonan pertamanya, Rise Ini Kalilah.

Sengaja bertanya soalan tentang hubungan cintanya dengan pelawak Zizan Razak dan perkembangan antara kedua-duanya, Mira Filzah dengan tenang menjawab yang segala-galanya masih berkisar dalam fasa yang sama.

Tiada perkembangan istimewa yang memerlukan mereka mengikat satu hubungan yang lebih intim seperti pasangan kekasih yang lain. Mengakui masih kekal berkawan dengan pelawak tersebut, kedua-duanya bagaimanapun tidak mempunyai rancangan untuk berumah tangga lagi.

“Tenang-tenang dulu. Kami masih berkawan tetapi tidak ada rancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat. Memang ada yang bertanya soal ini, tapi semua itu harus diketepikan dahulu kerana jadual kerja yang sangat padat.

“Begitu juga rancangan ke arah itu pun masih belum ada. Berapa lama fasa berkawan pun saya belum ada jawapannya. Saya sekadar mengikut masa.

“Apa pun saya selesa berkawan dengannya (Zizan Razak) kerana dia ikhlas dan telus. Memang dia seorang yang kelakar tetapi ada masanya dia serius,” kata Mira Filzah yang popular dengan drama bersiri Rahsia Hati Perempuan.

Duta pelancongan Salam Taiwan

REZEKI dalam dunia seni tidak putus-putus, kini Mira Filzah menerima tawaran pula sebagai Duta Pelancongan Salam Taiwan dari Biro Pelancongan Taiwan untuk tempoh setahun.

Bagaikan mengerti minat dan hobi pelakon ini, menerusi kempen Salam Taiwan yang menggalakkan pelancong beragama Islam melawat negara tersebut, Mira Fllzah turut diundang ke sana selama tujuh hari.

Biarpun selama ini Taiwan tiada dalam senarai negara yang mahu dilawati, namun menjejakkan kaki ke negara itu, pelakon ini bagaikan jatuh cinta buat kali pertama.

“Sesiapa yang mengikuti media sosial saya pasti akan tahu yang antara minat saya ialah melancong. Namun Taiwan bukan negara pilihan di Asia kerana saya bimbang sukar mendapat makanan halal.

“Namun apabila ditawar menjadi duta negara pelancongan mereka, saya teruja menerimanya kerana mahu merasai sendiri yang ditawarkan oleh Taiwan untuk pelancong Muslim seperti saya.

“Akhirnya baru saya tahu betapa Taiwan adalah destinasi pelancongan yang sangat indah, luar biasa dengan segala-gala keistimewaan, malah tidak perlu lagi risau tentang makanan halal kerana ada banyak restoran halal disediakan di sana,” kata Mira.

Selama seminggu berada di Taiwan, persepktifnya terhadap negara tersebut berubah malah merancang untuk kembali semula ke sana bersama-sama para peminat pula nanti.

“Sejujurnya, selama berada di sana, semua lokasi yang saya pergi sangat menarik dan tidak dapat dilupakan langsung. Antara yang saya suka ialah melawat ke pasar malamnya yang menjual pelbagai barang termasuk barangan vintaj yang luar biasa.

“Taman Negara Taiwan pun sangat berbeza. Bila berada di sana, tak terasa bagaikan di Taiwan tapi seperti di New Zealand kerana cuacanya sejuk dan ada banyak biri-biri.

“Sebenarnya ada banyak lokasi lagi saya tak jejaki kerana kesuntukan masa tapi saya akan kembali semula ke Taiwan membawa para peminat sebagai memenuhi kempen melancong ke sana.

“Yang seronoknya, para pelancong tidak usah gusar lagi soal di mana mahu mendapatkan makanan halal kerana terdapat 176 buah restoran halal di seluruh Taiwan.

“Taiwan adalah negara yang mesra Muslim kerana mementingkan proses penyediaan makanan halal yang diiktiraf kerajaan Malaysia malah turut menyediakan kemudahan untuk menunaikan solat di banyak lokasi,” katanya lagi.