Izzmad berkata, sebagai Ikon Revolusi Usahawan, tugas dan tanggungjawab yang digalasnya bukan boleh dipandang enteng kerana beliau perlu membantu seramai mungkin usahawan-usahawan kecil yang menjalankan perniagaan.

"Menerusi Kelab Revolusi Usahawan ini, sebagai ikon, saya sama-sama membantu usahawan kecil atau dikenali juga sebagai usahawan mikro untuk meningkatkan perniagaan yang mereka usahakan.

"Semua peniaga bermula secara kecil-kecilan dahlu tetapi apabila kita menyimpan impian untuk membesarkan lagi bidang perniagaan yang diceburi, di sinilah Kelab Revolusi Usahawan memainkan peranan mereka dalam membantu usahawan-usahawan kecil yang memerlukan bantuan dan bimbingan," katanya.

IZZMAD HARUN
IZZMAD HARUN 

Untuk rekod, Izzmad juga melibatkan dirinya dalam bidang keusahawanan apabila melahirkan empat produk iaitu Adonys Magical Refreshing Mist (produk spray segar atau refreshing mist mesra solat), Neo Aura Theraphy Collegan, Produk kebersihan dalaman lelaki dan wanita (Feminin and Hygyne Wash) dan Neo Aura Serai Wangi.

Dalam masa yang sama, Izzmad memberitahu, pada 29 Disember dan 30 Disember ini, bersamaan dengan hari Sabtu dan Ahad, bertempat di Dataran Ilmu Selayang, beliau sama-sama terlibat menjayakan Karnival Jualan Rakyat 2018.

"Saya mengajak semua orang untuk hadir di karnival dua hari ini kerana pengisian utamanya ialah untuk membantu kanak-kanak dan golongan ibu bapa menyediakan persiapan dan kelengkapan anak-anak untuk sesi persekolahan 2019.

"Terdapat pelbagai aktiviti sepanjang berlangsungnya karnival dua hari itu termasuk pertandingan karaoke, pertandingan makan, kehadiran maskot Upin dan Ipin yang amat disukai oleh kanak-kanak.

"Semestinya Karnival Jualan Rakyat di Dataran Ilmu Selayang, Selangor akan dimeriahkan lagi dengan persembahan artis. Selain saya, turut sama tampil mengadakan persembahan ialah penyanyi muda Aiman Tino, Zur Eda dan PU Amin yang akan memberikan tazkirah untuk kita sama-sama hayati," katanya kepada wartawan Utusan Online.

Karnival itu juga, ujar Izzmad, akan disertai oleh pengusaha booth yang menjual pelbagai jenis barangan dengan harga yang rendah.

Sebagai artis baharu, Izzmad mengakui, beliau teruja untuk menyertai acara Larian Amal Seniman, Run 2.0 yang akan diadakan pada Februari 2019 dan sekaligus, melancarkan Tabung Prihatin Seniman Khas Untuk Benjy yang kini menjalani hukuman penjara di Indonesia.

Kisah Benjy, aktor dan anak kepada allahyarham dramatis Azean Irdawaty bukan lagi menjadi rahsia.

Bagaimanapun, apabila pihak Seniman mengadakan lawatan ke penjara yang menempatkan Benjy di negara jiran baru-baru ini, Izzmad berkata, sekiranya beliau berpeluang untuk melawat Benjy, peluang itu tidak akan ditolaknya.

"Kita tahu bahawa setiap orang tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan apa yang dihadapi oleh Benjy telah pun diputuskan oleh undang-undang. Bukan itu yang kita mahu ketengahkan.

"Saya ingin sekali bersua empat mata dengan Benjy untuk memahami dan menyelami kehidupan yang dilaluinya hari ini. Saya amat tersentuh dengan keadaan Benjy.

"Sekarang, Beny memerlukan bantuan kewangan antara RM500 sehingga RM600 sebulan untuk ubat-ubatannya di sana. Dia tidak sihat, jadi bagai saya, tidak salah untuk sama-sama menjayakan Larian Amal Seniman, Run 2.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada bulan Februari ini nanti kerana sebahagian daripada kutipan akan disalurkan kepada Tabung Prihatin Benjy," katanya.

Izzman juga berkata, dirinya sebagai artis baharu, akan berusaha gigih untuk meningkatkan lagi pencapaiannya dalam karier seni sama ada sebagai penyanyi mahupun pelakon.

"Tahun baharu 2019, saya berazam untuk terus bangkit bersama single terbaharu, Bisa Pertama. Saya berharap para penggemar muzik dan pemerhati muzik tanah air menyokong Bisa Pertama dan sekaligus, meledakkan nama Izzmad Harun dan Bisa Pertama sehingga ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL)," katanya seraya mengakhiri perbualan. - UTUSAN ONLINE