Sebelum ini Izreen dikatakan mahu mengadakan sidang akhbar tersebut untuk menjelaskan kedudukannya sebagai isteri Ude.

Bagaimanapun selepas episod Utusan Online mendapatkan pengakuan isteri pertama Uda iaitu Intan Liana Salih, 31, yang kini dia bermadu dengan Izreen, nampaknya pelakon ini mengambil jalan untuk membatalkan sahaja sidang akhbar tersebut.

Malah Izreen juga sudah membuat pengakuan mengenai pernikahannya di laman sosial Instagram miliknya semalam.

Menurut kapsyen yang dimuat naik dengan gambar nikah mereka, Izreen, 32, menjelaskan punca dia merahsiakan pernikahannya adalah disebabkan permintaan suaminya sendiri.

“Memandangkan status saya sebagai isteri, saya terpaksa akur dengan permintaan suami. Suami minta supaya tidak menghebahkan berita ini sementara waktu memandangkan ini adalah pernikahan kali kedua saya,” tulisnya.

Dalam kapsyen yang sama Izreen turut mendedahkan tarikh dan lokasi pernikahan kali keduanya itu yang berlangsung di Sunway Damansara, Selangor pada 8 Ogos lalu. - UTUSAN ONLINE