Mungkin ramai yang sukar untuk percaya bahawa pasangan pelakon drama Ku Kirim Cinta ini hanya berkawan memandangkan mereka begitu rapat apatah lagi selepas timbulnya isu Ayda kerap mengunjungi set penggambaran drama Isteri Untuk Diiktiraf lakonan Redza awal tahun ini.

Ketika isu itu timbul, Ayda enggan mengulas lanjut mengenainya. Bagaimanapun perkara itu kembali diperkata apabila menjadi bahan sindiran pada malam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL 2018) yang seolah-olah ditujukan kepada mereka.

Ditanya mengenai perkara tersebut, Ayda tetap dengan pendiriannya untuk tidak memberikan sebarang komen apatah lagi dia sendiri tidak mengetahui tentang sindiran berkenaan, malah dia tidak mahu memanjangkan isu yang dianggap sudah lapuk dan telah dilupakan.

“Bagi saya, tidak perlu lagi nak keluarkan isu siapa datang lawat siapa di lokasi penggambaran. Sebelum ini ada juga kawan-kawan saya yang bukan artis datang melawat tetapi tidak dijadikan isu kerana tiada siapa yang kenal mereka.

“Apabila artis yang dikenali datang, pastinya dia menjadi tumpuan. Ini adalah perkara normal yang berlaku.

“Sebenarnya isu ini tidak sepatutnya diperbesar-besar kerana akan menimbulkan rasa tidak selesa.

“Adakalanya kami singgah di mana-mana lokasi penggambaran kerana ada urusan lain dan perlu menyelesaikan beberapa perkara. Begitu juga dengan saya yang ke sana ketika itu atas urusan kerja,” jelasnya.

Sementara itu, gadis berusia 25 tahun ini tidak menafi atau mengiyakan hubungan mereka lebih dari sekadar kawan. Sebaliknya, penyanyi lagu Mata ini mengakui dia selesa berkawan dengan Redza memandangkan dia sendiri tidak mempunyai kawan yang ramai.

“Saya bukan mahu menafikan hubungan kami tetapi sejujurnya saya dan dia hanya berkawan baik. Saya tidak mempunyai ramai kawan. Bercakap tentang orang yang saya selesa berkawan, Redza salah seorang daripadanya.

“Selain dia, saya hanya selesa dikelilingi rakan daripada kumpulan pengurusan saya sendiri iaitu pengurus dan pembantu peribadi saya,” ujarnya.