Cuba bertapak dalam industri lakonan di Malaysia, pemuda berketinggian 181 sentimeter itu ketika bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini berharap kehadirannya dapat diterima baik oleh rakyat negara ini.

Berkata kepada Utusan Online, Fuad akui kerjayanya sebagai seorang model profesional sebelum bergelar pelakon menuntut komitmen yang tinggi termasuklah memperagakan pakaian dalam.

“Ya, sebelum ini saya pernah menjayakan beberapa sesi fotografi dengan hanya berseluar dalam tetapi itu adalah tuntutan kerja dan bersedia untuk dikritik.

“Bagaimanapun itu semua adalah asam garam yang perlu saya telan sewaktu menerima setiap tawaran selaku seorang peragawan.

“Sekarang ini, saya terbuka menerima sebarang bentuk kritikan kerana sedia maklum dengan sensitiviti penduduk di sini terutama kaum muslimin,” katanya kepada Utusan Online.

Sementara itu, dia yang pernah membintangi beberapa drama yang diterbitkan di Kota Singa berharap untuk mencari rezeki di sini sementelah melihat beberapa pelakon kelahiran negaranya yang berjaya menempa nama di bumi Malaya ini.

Menurut Fuad, hero filem Ombak Rindu iaitu Datuk Aaron Aziz juga merupakan produk yang lahir daripada pertandingan sama sepertinya yang meniti populariti mendadak di Malaysia.

“Dia adalah sumber inspirasi saya. Siapa sangka, dia yang terjun dalam bidang lakonan melewati usia 30-an juga mampu mengecap kemasyhuran.

“Jadi, saya tidak menganggap usia saya sebagai penghalang untuk terus ke hadapan dalam bidang lakonan,” katanya. - UTUSAN ONLINE