Malah, berkata kepada Utusan Online, Ismail tetap mahu meneruskan pengajiannya ke peringkat menara gading dengan menduduki peperiksaan khas yang telah disediakan oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Saya mahu mengambil jurusan komunikasi media kerana saya cenderung ke arah itu selain muzik. Ikutkan, saya cukup berminat untuk menjadi pengacara atau menceburkan diri dalam bidang berkaitan.

“Jadi, lebih baik saya mendaftar di IPTS yang menawarkan kursus tersebut. Sekarang ini, memang ada institusi yang mengambil pelajar walaupun tanpa memiliki SPM,” katanya.

Sementara itu, sedar akan dirinya tidak sehebat penyanyi lain yang memiliki vokal memukau dalam menyanyikan lagu bernada tinggi, Ismail bagaimanapun akur dengan skeptikal netizen yang gemar membuat perbandingan.

Pernah berkongsi luahan hatinya di laman sosial berkenaan isu tersebut, Ismail tetap percaya rezeki setiap manusia itu berbeza-beza jika diiringi doa dan usaha.

“Luahan tersebut tidak bermaksud saya kecewa dengan sikap peminat yang cenderung membeza-bezakan penyanyi kegemaran mereka.

“Saya terima setiap kritikan dengan hati yang terbuka bagi memperbaiki kelemahan diri,” katanya yang baru sahaja mengeluarkan single terkini berjudul Luar Biasa. - UTUSAN ONLINE