Sengaja mengorek rahsia kenakalan Ismail pada zaman kanak-kanaknya tiap kali Hari Raya Aidilfitri datang bertandang. Lebih-lebih lagi apabila berkumpul beramai-ramai dengan saudara sebaya pasti sahaja ada perkara yang dilakukan bersama-sama.

Tidak banyak yang dikongsikan kerana ujar Suliza, remaja berusia 17 tahun itu seorang anak yang sangat baik dan manja.

“Dia seorang budak lelaki yang baik dan tak nakal. Dia memang tak ada beri masalah. Cuma masa umur lima tahun ketika di kampung, dia suka pergi belakang rumah.

“Dia kecil lagi dan dalam dunianya sendiri. Dia kata kepada saya ada ternampak budak dan nak ikut bermain sama di kawasan yang sunyi itu.

“Kerana terlalu risau, sampai saya tak cukup tidur sebab nak pantau dia,” ulasnya seraya tertawa mengenangkan kembali peristiwa tersebut.

Sudah menjadi tradisi keluarga ini untuk pulang ke kampung halaman Suliza di Pontian, Johor pada setiap tahun. Selain Ismail, Suliza turut mempunyai dua lagi anak perempuan iaitu Nur Izzati, 25, dan Nur Falahi, 21.

“Raya kali ini tak banyak beza pun sebab setiap tahun destinasi kami sekeluarga sama sahaja. Mungkin lebih istimewa untuk Ismail sebab ramai yang menanti di kampung nak minta autograf dan gambar (ketawa).

“Kalau bab juadah raya, macam biasalah ada ketupat, lemang, rendang, kuah lodeh. Makanan ini semua dimasak sendiri di kampung. Lemang goreng antara makanan kegemaran Ismail tiap kali raya. Biasanya dimakan dengan daging dendeng,” kongsinya.

Duit raya cecah RM2,000

ISMAIL pula membuka cerita, semakin meningkat usia semakin kurang duit raya yang diperoleh. Lebih-lebih lagi dia sudah mempunyai karier sendiri sudah tentulah giliran dia pula yang memberi.

“Walaupun tak banyak duit raya saya berikan tapi sekurang-kurangnya ada jugalah saya berkongsi rezeki. Bila semakin dewasa ini, terbit rasa nak hulurkan duit raya.

“Mahu tak mahu, saya kena terimalah zaman kutip duit raya sudah berlalu,” katanya.

Menyelak kembali kenangan jumlah kutipan duit raya yang pernah dia dapat sewaktu kecil, Ismail dengan jujur memberitahu pernah mencecah RM2,000.

“Masa umur lapan tahun saya dapat banyak duit raya. Ketika itu saudara mara yang seusia saya tak ramai sangat. Jadi tumpuan banyak diberikan kepada saya. Saya berhenti pergi beraya rumah ke rumah dengan rakan-rakan semasa di Tingkatan 2,” ujarnya yang kebiasaannya akan mengadakan sesi bergambar sekeluarga selepas menikmati juadah pada pagi Syawal.

Dalam pada itu, jika tahun lalu dia belum bergelar artis namun sudah pernah membuat rumah terbuka untuk pengikutnya di Instagram, kali ini dia sekali lagi merencana untuk adakan majlis yang sama.

“Saya nak raikan peminat yang sentiasa menyokong karier seni saya hingga single Sabar berjaya mencuri hati pendengar.

“Insya-Allah, rumah terbuka itu nanti akan diadakan di sebuah lokasi yang akan di beritahu kelak,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE