Kata pengacara rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) itu, dia terpaksa melupakan sebentar minat terhadap teater kerana perlu memberi komitmen tinggi terutama dari segi masa kepada kerjaya pengacaraan.

“Teater adalah minat mendalam saya dan pengalaman terlibat dalam produksi teater memberi satu kepuasan yang tidak didapati daripada bidang lain. Disebabkan pementasan teater memerlukan komitmen tinggi dari segi masa, maka saya terpaksa ‘berehat’ buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerjaya pengacaraan,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Jejaka berusia 27 tahun itu sebelum ini pernah beraksi dalam pementasan teater bertajuk Home yang diterbitkan Anomalist Production iaitu musim pertama di Malaysia dan musim kedua di Singapura.

Sung­guhpun begitu, Iskandar mengimpikan untuk kembali ke pentas teater dengan karya, naskhah dan watak yang berlainan daripada apa yang pernah dibawanya sebelum ini.

Di dalam teater Home, Iskandar diberi peluang menerajui watak utama sebagai Mohd. Syafiq Abdul Razak yang merupakan seorang pelajar cemerlang Anugerah Dekan tahun akhir dalam jurusan undang-undang dan seorang pendebat terbaik di universitinya.

Watak itu digambarkan mengalami dilema pada semester terakhir pengajiannya dalam penentuan masa depan iaitu untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan bekerja di sana atau tinggal di Malaysia.

Ditanya mengenai bidang lakonan di televisyen, Iskandar berkata, dia belum pernah terfikir untuk ‘terjun’ ke bidang itu secara serius.

Katanya, dia pernah menyertai beberapa sesi uji bakat sekadar untuk suka-suka, namun tidak menolak sekiranya suatu hari nanti, dia akan mendapat peluang berlakon dengan mana-mana produksi.

Dalam pada itu, Iskandar yang merupakan graduan Seni Bina Dalaman dan Rekaan, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan University of Portsmouth, United Kingdom (UK) kini ligat membina empayar perniagaan hiasan dalaman bersama sahabat baiknya.

Setelah tiga tahun berniaga, dia dan rakannya mengambil langkah berani menghasilkan beg daripada daun mengkuang yang diberi jenama Ravaka Malaysia.

Kejayaan itu membolehkan mereka membuka studio jualan di iCity Shah Alam, Selangor.

Iskandar yang memulakan kerjaya sebagai pengacara di TV3 secara sambilan pada September tahun lalu bersiaran dua kali seminggu dalam rancangan MHI.

“Pengalaman mengacara MHI cukup mencabar kerana program ini cukup ikonik di TV3. Di samping perlu menyampaikan maklumat dan isu semasa, ilmu pengetahuan am juga harus saya kuasai bagi memberi inspirasi terbaik buat penonton.

“Selepas beberapa lama bersiaran, saya semakin selesa, apa tah lagi menerima sokongan dan tunjuk ajar daripada penerbit, rakan pengacara dan pasukan produksi,” katanya.