Mempertaruhkan single baharu berjudul Ajari Aku yang dicipta oleh komposer terkenal DJ Fuzz dan lirik ditulis oleh kumpulan Viral, ibu kepada dua orang cahaya mata itu berharap percaturannya bergelar penyanyi solo dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Berkata kepada Utusan Online, Irene menjelaskan pada tahun lalu dia pernah ditipu oleh seorang lelaki yang berjanji untuk membantunya mempromosikan single solo berjudul Sejarah Hitam, namun hampa selepas individu berkenaan menghilangkan diri.

"Saya melaburkan lebih RM50,000 untuk mengeluarkan single berkenaan yang merupakan lagu asal kumpulan Angels. Lelaki itu memberitahu dia akan membantu saya dari sudut promosi, tetapi harapkan pegar, pegar makan padi.

"Kerjasama yang diharapkan musnah begitu sahaja termasuklah kos pembiayaan dan perbelanjaan yang lesap entah ke mana. Sehingga kini dia hilang dan senyap begitu sahaja tanpa sebarang penjelasan munasabah.

"Mulanya saya mempercayainya kerana berpengalaman dalam bidang pengurusan kerana dia pernah menguruskan kerjaya nyanyian seorang penyanyi wanita popular.

"Bagaimanapun, saya reda, mungkin bukan rezeki saya ketika itu. Pun begitu, insiden tersebut tidak mematahkan semangat saya untuk kembali aktif berkarya," katanya.

Irene berkata demikian sejurus ditemui usai persembahan mininya yang diadakan di Afdlin's Comedy Planet, Jalan Ampang di sini, Sabtu lalu.

Bernaung di bawah syarikat pengurusan baharu, Irene berharap karier nyanyiannya dapat diteruskan dan bersedia untuk bersaing dengan penyanyi baharu sedia ada.

"Saya tidak berasakan sudah terlewat untuk kembali fokus menjadi penyanyi. Asalkan ada produk bagus berserta vokal yang baik dan komitmen tinggi, saya yakin mampu bersaing secara sihat dengan mereka.

"Insya-Allah rezeki ada di mana-mana. Lagipun suami menyokong sepenuhnya pembabitan saya dalam bidang ini," tambahnya. - UTUSAN ONLINE