Ramai penyanyi yang menjadikan Eropah sebagai peluang untuk mereka melebarkan sayap dalam bidang nyanyian.

Berbeza dengan kumpulan Akim & The Majistret yang melihat China sebagai antara destinasi yang cuba mereka tembusi ketika ini.

Bercerita mengenai perancangan untuk ke negara itu, jelas pemain gitarnya, Zimi atau Zarimi Zahari, dia terkejut kerana lagu-lagu mereka mendapat tempat pada hati peminat kaum Cina.

Malah sebelum ini juga Akim pernah menyanyikan lagu-lagu berbahasa Kantonis yang turut mendapat sambutan baik peminat berketurunan Cina.

“Kita belumlah berhajat untuk terus ke China sebaliknya kita cuba perkenal diri dengan peminat-peminat kaum Cina dalam negara dulu.

“Jika sambutan yang diberikan menggalakkan, barulah kita akan fikir untuk ke fasa seterusnya sebelum cuba menembusi pasaran muzik China,” jelasnya.

Ketika ini, Akim sedang sibuk merakamkan album Lagu Untuk Laila yang telah dialih bahasa dari Melayu ke Mandarin.

Ternyata, usaha itu juga memerlukan Akim selaku vokalis memberi komitmen yang tinggi terutama dari segi sebutan dan pemahaman bahasa tersebut.

Ini bukanlah kali pertama Akim menyanyikan lagu bahasa asing. Namun Akim mengakui, bahasa Mandarin agak sukar. Malah ketika ini Akim sedang mempertimbang untuk menghadiri kelas bahasa itu untuk memudahkan dia menyebut dan memahami bahasa tersebut.

“Merakamkan lagu dalam bahasa Mandarin itu sahaja sudah mengambil masa selama lapan jam. 

“Memang susah kerana kena sebut betul-betul. Kalau salah sebut nanti membawa maksud yang berbeza.

“Itu yang saya terfikir untuk mengambil kelas bahasa Mandarin. Tetapi bukanlah dalam masa terdekat ini,” katanya yang menggunakan khidmat individu berketurunan Cina untuk menjadi gurunya ketika sesi rakaman.