Terpanggil dengan apa yang telah berlaku, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) turut sama merasai derita tersebut. Tentu sahaja tidak mampu untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk bantuan keselamatan, atau menghulurkan bantuan wang ringgit kepada mangsa-mangsa untuk meneruskan kehidupan, apabila menggunakan cara yang berbeza dengan menganjurkan acara Doa Untukmu Rohingya.

Mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi dan pihak lain sedikit sebanyak membuka mata rakyat Malaysia khususnya untuk sama-sama merasai penderitaan yang dihadapi. Caranya WHAM telah mengusahakan satu acara murni, menjemput nama-nama artis besar dalam dunia nyanyian, lakonan, penulisan, dan sebagainya. Mereka ini bakal bersatu melalui deklamasi puisi, lagu puisi, lagu nasyid dan beberapa medium lain sebagai tanda solidariti kepada mereka yang ditindas.

Menurut Timbalan Presiden WHAM, Niezam Abdullah, penganjuran tersebut sebagai acara yang tepat bagi memberikan sokongan moral dan melahirkan keprihatinan terhadap isu kemanusiaan yang masih menjadi perbalahan kepada masyarakat Rohingya.

“Dalam apa juga keadaan, pembunuhan adalah sesuatu yang dilarang keras oleh mana-mana agama, juga mana-mana negara sekalipun di dunia ini. Jadi, sudah tentunya apa yang berlaku di sana turut dirasai di sini. Konflik yang melanda masyarakat Rohingya benar-benar memberikan kesan yang mendalam kepada kita yang berada di sini. Jadi tentu sahaja acara Doa Untukmu Rohingya adalah medium tepat untuk kita menyampaikan rasa kepada mereka.

“Menariknya, acara ini juga tidak hanya terhad kepada golongan artis semata-mata sebaliknya turut disertai oleh golongan sasterawan dan orang perseorangan yang lain untuk sama-sama menunjukkan rasa prihatin,” kata Niezam lagi.

Menyasarkan penyertaan 1,000 anak seni pelbagai latar belakang, Doa Untukmu Rohingya bakal diadakan pada 1 Januari 2017 hadapan di Laman Santai, perkarangan Istana Budaya. Acara yang akan diadakan selama 10 jam tanpa henti itu akan bermula pada pukul dua petang dan berakhir pukul 12 tengah malam.

Antara artis-artis yang sudah mengesahkan bakal untuk memberi sokongan kepada acara ini ialah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Rosyam Noor, Erra Fazira, Johan As’ari, Aizat Amdan, Zaiton Sameon, Nabil Ahmad, Azharina Azhar, Soffi Jikan, Aiman Tino, Mia Ahmad dan ramai lagi.

Turut terlibat adalah golongan sasterawan terdiri daripada Profesor Dr. Lim Swee Tim, Datuk Dr. Zurinah Hassan, Awang Hasan, Zainal Rashid Ahmad, Leftenan Dr. Radzi Ahmad, Dr. Salleh Rahamat dan Cikgu Syukri Abdullah.

Turut terlibat beberapa kumpulan buskers dan kumpulan teater pendek termasuklah daripada pusat pengajian tinggi.

“Mungkin acara ini kecil bagi segelintir pihak tetapi besar maknanya kepada penggiat seni di negara kita sendiri. Sebagai rakyat Malaysia yang sudah diketahui prihatin dalam soal kemanusiaan.

“Untuk membantu mereka dengan turun padang adalah mustahil, tetapi dengan adanya acara begini, kita dapat menunjukkan kepada dunia bahawasanya penindasan yang berlaku kepada etnik Rohingya tetap dirasai di sini. Ayuh sama-sama hadir memberikan sokongan,” katanya lagi.

Penganjur turut membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam program penuh integriti ini, dengan cara menghantar puisi ciptaan kalian . Puisi ini bakal dideklamasi oleh artis dan seniman tanah air pada acara tersebut nanti. Penyertaan dibuka sejak 12 Disember lalu dan terbuka kepada semua warga Malaysia dengan syarat ia sebuah karya tulen.