Sedar ada kalanya timbul persepsi liar menuduh dia tidak lagi sudi bekerjaya di tanah air sendiri termasuk perubahan diri ke arah Barat, penyanyi ini tidak bersetuju dengan tanggapan tersebut.

“Jujurnya, dalam hati ini cuma ada Malaysia sahaja. Ini kan ‘rumah’ saya, mana mungkin semudah itu akan melupakannya,” katanya menepis dakwaan.

Bahkan kerana sayangnya pada tanah air, itu juga antara sebab mengapa Perlis menjadi pilihannya untuk merakamkan muzik video (MV) lagu terbaharu untuk pasaran antarabangsa.

“Entah mengapa sepanjang menghasilkan lirik dan lagu Forever More, bayangan sawah padi terbentang luas dan kenangan lama semasa membesar di utara tanah air berada di minda.

“Bila saya beritahu pada suami, Adam Sinclair, dia mencadangkan mengapa tidak MV itu dihasilkan di sana sahaja? Maka November lalu semuanya berjalan seperti dirancang.

“Tiada siapa yang menyangka saya akan hasilkan MV di Perlis kerana lagu-lagu saya sekarang sudah berkonsep Barat dan urban,” katanya.

Menganggap ia adalah sebahagian daripada naskhah istimewa buat semua peminat, Yuna yakin kepelbagaian budaya dan bangsa sudah boleh diterima baik di AS.

Berbangga namanya sudah dikenali di negara itu, dia mahu bergerak dengan identitinya. Sebagai seorang anak jati Melayu yang membawakan budaya Malaysia di sana menerusi muzik dan imej, itulah Yuna.

“Kita sendiri kena yakin dengan keistimewaan sebagai warga Malaysia dan saya berbangga apabila kebanyakan orang Barat mahu tahu mengenai budaya orang kita.

“Sebab itu, saya tak ralat menghasilkan MV di Perlis untuk pasaran antarabangsa. Saya mahu tonjolkan sisi keistimewaan Malaysia di mata mereka,” tambahnya.

Gaduh mesti ada

Banyak bekerjasama dengan suaminya sendiri untuk menghasilkan MV, fotografi dan sebagainya, Adam pada mata Yuna adalah seorang lelaki yang disenangi dalam soal kerjaya.

Bukan mahu bersikap berat sebelah hanya kerana dia adalah suaminya tetapi Yuna menganggap lelaki itu amat memahami kehendaknya daripada aspek kerja belakang tabir.

“Bergaduh atau perbezaan pendapat tu mestilah ada, tetapi saya sudah biasa bekerja dengan dia. Agaknya sebab itu kami berkahwin kerana persefahaman itu hanya kami yang tahu.

“Bagi saya dia seorang yang menyeronokkan dan mudah untuk bekerja daripada segi perfileman dan kerja di belakang tabir,” katanya.

Anak, tunggu dulu

Mengusik wanita berusia 33 tahun ini mengenai keinginannya untuk bergelar seorang ibu, dia yang berkahwin dengan Adam pada 26 Januari tahun lalu tersenyum manja.

Sebagaimana pasangan berkahwin yang lain, dia juga sudah tentu mahu menimang cahaya mata. Namun mungkin keinginan itu terpaksa ditunda buat sementara waktu.

“Kami tidak merancang, cuma ada baiknya jika perkara itu terjadi selepas saya dan Adam selesaikan beberapa perkara mengenai kerjaya kami dulu.

“Sekarang pun kami berdua menjalani hubungan jarak jauh. Dia di Malaysia manakala saya di Los Angeles, faham-faham sahajalah,” ujarnya.

Tanggungjawab seorang ibu amat besar, maka Yuna memberi bayangan mungkin akan berehat daripada aktiviti seni selama setahun andai sudah hamil kelak.

“Saya nak jadi seorang ibu yang bertanggungjawab. Tak mahulah kerana kesibukan aktiviti seni, maka saya tak nikmati sepenuhnya setiap fasa menjadi seorang ibu,” katanya.