“Orang boleh berprasangka yang macam-macam. Saya tahu pelbagai cerita yang disebar mengenai cinta dan kehidupan peribadi. Tapi sebetulnya perkara itu tidak sempat untuk difikirkan dengan kesibukan saya dan Noah setiap hari,” ungkap bekas vokalis Peterpan ini, satu persatu.

Pernah dituduh sudah menikah senyap-senyap dengan wanita tersebut, sebagai lelaki yang pernah ditimpa dengan dugaan paling berat, semua itu tidak menjadi kudis kepada dirinya.

Saat diasak tentang kisah peribadi dia masih tenang menjawab dalam nada yang cukup baik.

Bercakap soal pernikahan rahsia, bagi Ariel dia tidak langsung mengambil masa untuk menjawab hal yang tidak pernah terjadi itu. 

“Tiada apa yang berlaku di antara kami meskipun ada yang membuat pelbagai andaian. Saya hanya melalui sahaja dengan tenang dan dalam masa yang sama tiada juga perancangan untuk ke fasa seterusnya. 

“Jika ditanya bila hubungan tersebut akan disimpulkan, saya juga tiada jawapan. Semuanya saya serahkan kepada Tuhan,” kata Ariel berlapik.

Pun begitu, Ariel atau nama sebenarnya Nazril Irham mengakui yang cintanya berada di tahap statik dek kerana kesibukan tugas seharian. Hampir setiap hari ada sahaja kerja berkumpulan yang harus dilakukan yang menyebabkan dia sendiri tidak dapat menyimpulkan kesudahan cinta mereka.

Soal bukan lagi menjadi perhatian utama memandangkan Noah sendiri mempunyai perancangan besar untuk menyiapkan rakaman album baharu yang sudah setahun tertangguh.

Kesibukan

MENJADI antara kumpulan paling popular di Indonesia tidak pernah sesekali membuatkan mereka lupa diri. Noah yang dijenamakan semula pada 2012 daripada PeterPan merupakan antara gergasi muzik yang dimiliki oleh Indonesia dan rumpun Melayu secara amnya. 

Menyaksikan perjalanan turut naik kumpulan ini, pastinya penuh dengan ranjau dan liku. Bangkit daripada kekesalan masa lalu, Ariel, Uki, Lokman dan David tidak menoleh ke belakang lagi.

“Semuanya telah kami lalui bersama sejak dahulu. Turun naik sebagai sebuah kumpulan tidak selalunya manis. Tapi segala yang pahit dijadikan sempadan buat kami untuk terus maju ke hadapan,” ungkap Ariel satu persatu.

Menariknya, mereka tidak pernah lelah dengan apa yang sedang berlaku ketika ini. Dengan jadual seni yang begitu padat dan sering mengembara ke seluruh pelosok Indonesia menerusi siri jelajah membuatkan masa yang ada untuk diri sendiri terhad.

Saban hari, ada sahaja konsert dan acara yang perlu dihadiri sehingga mereka terpaksa menanggungkan beberapa hal penting termasuklah hal peribadi kerana pekerjaan.

“Kami sudah meminta pihak pengurusan untuk memberikan cuti tiga bulan kepada Noah. Memang sejak awal tahun jadual panggung sangat padat. Hampir setiap hari ada sahaja acara yang perlu dihadiri. Album yang sepatutnya sudah dipasarkan tahun lalu pun tidak dapat disiapkan lagi.

“Sebab itu kami minta masa untuk masuk ke studio menyiapkan kerja-kerja rakaman. Setidaknya, April tahun hadapan album itu mesti dipasarkan,” kata Ariel ketika ditemui kepada di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Gegar Kuala Lumpur

BAKAL menggegarkan Kuala Lumpur pada 25 November ini di Stadium Negara, lagu-lagu popular Noah dan PeterPan akan kembali berkumandang di sini. Untuk peminat pula, kehadiran mereka paling dinanti-nanti setelah kali terakhir muncul pada 2006 dengan konsert berskala besar.

Bagi Ariel, kehadiran kali ini adalah merintis semula jalan yang pernah dilalui oleh mereka sebelum ini. Soal kematangan pastinya menjadi taruhan sementelah masing-masing semakin meningkat usia dan pengalaman.

“Ini yang kami pertaruhkan kali ini. Jika dahulu kami datang dengan semangat juang untuk mempopularkan nama PeterPan, kami ini Noah pula yang akan memperlihatkan sisi kematangan kepada semua peminat yang sering menunggu kehadiran kami.

“Pastinya ada beberapa hal yang akan kami pertontonkan kepada semua melalui konsert kali ini. Saya sendiri tidak sabar untuk kembali menghiburkan peminat yang setia menyokong perjalanan seni kami sejak dahulu,” tambahnya lagi.

Dengan Noah Live In Kuala Lumpur, Ariel menjelaskan yang mereka akan menunjukkan sesuatu yang baharu kepada peminat di sini. Jika dahulu kehadiran mereka dianggap biasa, kali ini persediaan yang dilakukan juga lebih besar.

Membawa sendiri tenaga kerja daripada sana, mereka akan memastikan soal teknikal tidak dipinggirkan termasuklah pencahayaan, pentas sehinggalah props seperti mana yang dirancang.

“Dahulu kami tidak punya apa-apa dan hadir dengan semangat sahaja. Kini Noah sudah mempunyai pasukan sendiri yang akan ‘mencantikkan’ lagi persembahan. Ini janji kami untuk memberikan yang terbaik kepada semua,” kata Ariel yang akan menyanyikan lebih 15 buah lagu sempena konsert itu nanti.