“Sebagai seorang selebriti saya ingin pelbagaikan kemampuan diri untuk bergelar seorang penghibur.

“Saya tidak mahu orang ingat saya mahu bersaing dengan penyanyi-penyanyi yang sedia ada. Apa yang saya buat ini adalah untuk menghiburkan orang,” katanya.

Jelas Janna, dia masih dalam proses pembelajaran untuk menjadi seorang penyanyi. Malah katanya, di usia muda ini juga dia melihat tidak salah untuk terus mencuba menjadi yang terbaik.

“Saya masih lagi dalam proses untuk menjadi seorang penyanyi, sebab itu saya tidak boleh terus memilih lagu-lagu yang memerlukan kekuatan vokal yang tinggi.

“Perlahan-lahan saya akan buktikan kemampuan diri, jadi saya mulakan dengan single Mungkin Saja. Malah pada tahun ini juga saya sudah berbincang untuk mengeluarkan album pertama saya,” katanya positif.

Memilih Hikayat Records sebagai landasan untuk dia mengembangkan karier sebagai penyanyi. Jelas Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, walaupun pernah dilamar beberapa syarikat rakaman lain, ternyata Hikayat Records adalah pilihan paling tepat.

“Memang sebelum ini ada syarikat rakaman lain yang cuba memberi tawaran kepada saya, malah ada yang lebih popular. Namun saya tolak kerana percaya terdapat artis lain dalam syarikat itu yang saya percaya akan mendapat perhatian lebih daripada saya.

“Memandangkan saya seorang artis baharu, tentunya saya tidak mahu berada dalam keadaan itu. Sebab itu saya memilih Hikayat Records, malah ketika menandatangani perjanjian juga saya merupakan artis pertama mereka,” katanya.

Menolak untuk menjadi peserta program realiti nyanyian, tambah pelakon yang berasal dari Kedah ini, dia lebih senang untuk tidak bergelar penyanyi dari program realiti saat ini.

“Saya melihat itu sebagai sesuatu yang sukar, bukan apa dalam waktu sekarang saya sudah bergelar pelakon, jadi bila masuk program begitu takut timbul pertikaian.

“Jadi tidak mengapa saya terus menjadi penyanyi dan dalam masa yang sama melihat sendiri proses-proses yang perlu dilalui seorang penyanyi di Malaysia,” katanya.

Hampir lima tahun mencuba nasib dalam bidang lakonan, tiada sebab untuk Janna melupakan kerjaya yang mempopularkan dirinya ini. Kata Janna apa yang pasti kini jadualnya akan sibuk dengan dua kerjaya berbeza.

“Sebenarnya pelakon dan penyanyi itu sama iaitu menghiburkan orang, namun saya harus akui tidak mampu untuk melakukan dua kerja dalam satu masa. Jadi saya akan pastikan jadual sentiasa tersedia dengan baik untuk mengelakkan pertindihan.

“Sehingga hari ini juga saya masih menerima tawaran berlakon, dan tidak akan menolak,” katanya.