Tidak dinafikan daripada nada percakapan, Taeyang atau nama sebenarnya Dong Young-bae, 27, selepas mendendangkan dua lagu pembukaan, Body dan Super Star, anggota kumpulan Bigbang itu terus bertanya khabar para penonton dengan ucapan, apa khabar Malaysia.

“Sudah lama saya menanti saat ini dan hari ini impian saya terlaksana. Sejak menghasilkan album solo Solar pada 2010 dan Rise pada tahun lalu, saya berharap dapat menghiburkan anda semua. Hari ini menjadi kenyataan dan saya akan pastikan anda semua terhibur,” katanya yang memulakan persembahan pada pukul 6.45 petang.

Melihatkan perjalanan konsert yang mengambil masa selama dua jam lebih itu, memang berbaloi pada mereka yang telah membeli tiket. Selain itu, ada juga peminat bertuah yang dipilih sebagai pemenang untuk menerima hadiah daripadanya seperti topi dan kasut.

Taeyang yang diiringi oleh lapan penari dan empat pemuzik itu memang mengotakan janji-janjinya kerana selain menampilkan kira-kira 20 buah lagu yang mesra di perdengaran para peminat, dia juga lincah menari.

Antara lagu yang didendangkan adalah Move, Your’e My, I Need A Girl, Eyes Nose Lips, Good Boy, Bad Boy, Ringa Linga dan Fantastic Baby.

Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku, mungkin penganjur IME sudah memaklumkan kepada Taeyang tentang kejadian yang berlaku terhadap kumpulan BA14 sebelum ini.

Taeyang yang menghormati sensitiviti masyarakat tempatan, ternyata tidak menampilkan persembahan melampau. Apa pun persembahan bertenaga daripada Taeyang memberi kenangan indah kepada para peminat. Malah dia juga telah beramah mesra dengan peminat bertuah selepas mengadakan persembahan.