Populariti empunya nama sebenar Jason James Dy melonjak setelah menjuarai The Voice Philipines musim kedua.

Hasil kemenangan itu, anak kelahiran Butuan City ini melahirkan album sulung pada 2015 dan terus meraih kejayaan apabila lagu dendangannya seperti Caught In That Feeling, Milagro dan Walang Iwanan berjaya mendominasi carta muzik di Filipina.

Tahun ini merupakan tahun yang membawa tuah buat penyanyi R&B ini apabila dipilih bergandingan bersama pelakon dan penyanyi cantik Malaysia, Fazura menerusi lagu terbaharu berjudul Nothing Like Pag Ibig.

Jason yang berada di Kuala Lumpur sempena pelancaran muzik video karaoke lagu tersebut di Red Box The Garden baru-baru ini memberitahu amat berbesar hati dan teruja apabila diberi peluang bekerjasama dengan jelitawan itu.

“Saya kenal Fazura menerusi rancangan Facing Up To Fazura. Sebelum bertemu, saya mencari maklumat tentangnya di internet. Daripada pencarian itu, saya tahu bahawa dia bukan calang-calang artis di Malaysia.

“Saya gembira dapat bergandingan dengannya dalam Nothing Like Pag Ibig. Ternyata dia seorang yang cukup profesional dan merendah diri. Ini meningkatkan keserasian antara kami ketika merakamkan lagu itu.

“Kolaborasi dengan Fazura antara lain akan membuka peluang untuk penggemar di Malaysia mengenali saya dan muzik yang saya bawa. Malaysia memiliki industri muzik yang besar dan mungkin peminat di sini boleh menerima saya seperti artis-artis Filipina yang lain,” katanya kepada S2.

Jason berkata, bergelar penyanyi merupakan impian yang disimpan sejak zaman kanak-kanak. Katanya lagi, seperti kebanyakan penyanyi lain di Filipina, dia bermula sebagai penyanyi sandaran.

“Sejak dulu, saya sentiasa mengimpikan karier sebagai penyanyi profesional. Ini bukan perkara mudah kerana di Filipina, terdapat terlalu ramai penyanyi berbakat yang berkongsi impian sama.

“Sepanjang usaha untuk berada dalam industri hiburan di Filipina, saya berdepan pelbagai halangan dan penolakan. Akhirnya, bagai takdir tertulis untuk saya memenangi The Voice Philipines dan kini bergelar penyanyi sepenuh masa,” ceritanya lagi.

Kehebatan anak muda ini dalam menyanyikan lagu-lagu berentak R&B tidak boleh dipertikai. Akui Jason, bakat nyanyian yang dimiliki adalah anugerah tuhan yang tidak ternilai baginya.

“Sewaktu kecil, kala kanak-kanak lain menghabiskan waktu menonton kartun, saya memilih untuk menonton muzik video. Menerusinya, saya diperkenalkan dengan dunia hiburan, khususnya muzik.

“R&B dan pop adalah jenis muzik yang membawa pengaruh besar kepada diri saya. Ketika membesar, saya menjadikan Stevie Wonder dan Micheal Jackson sebagai idola. Justeru, saya memilih jenis muzik yang mereka perjuangkan sebagai genre pilihan dalam berkarya,” ujarnya.