Justeru, tatkala diberi tanggungjawab sebagai mentor kepada protege ‘otai’ menerusi program realiti Mentor Otai, gandingan empat penyanyi terkenal, Tam Spider, Zarul Husin, Misha Omar dan Sarah Raisuddin tampil dengan syarat-syarat tersendiri.

Peluang bertemu barisan mentor hebat baru-baru ini, masing-masing tidak lokek berkongsi impian dan harapan untuk protege yang bakal mengegarkan pentas Mentor Otai pada 18 Mac nanti.

Tiada Zarul nombor dua

Tidak mahu protege bimbingannya terikat dengan satu genre sahaja, Zarul Husin mengambil keputusan untuk tidak meletakkan sebarang syarat berkaitan isu tersebut dalam memilih peserta.

Bagaimanapun jika ada peserta yang tampil dengan karakter tersendiri, penyanyi dan pelakon yang berusia 45 tahun ini menyifatkan itu satu bonus untuk mereka.

“Perkara penting yang menjadi keutamaan saya ialah dia boleh menyanyi dengan bagus. Saya juga tidak meletakkan sebarang genre kerana yang penting adalah suara mereka.

“Kerana bagi saya, lebih banyak genre yang seseorang peserta itu mampu buat, lagi meluas pasaran mereka dalam industri ini. Saya mahukan bakat mereka yang saya rasa saya boleh ketengahkan nanti,” kata Zarul.

Dalam pada itu, Zarul yakin bahawa pertandingan mencari bakat ini tidak akan dapat menemukan ‘Zarul nombor dua’.

Baginya, apabila bakat yang dicari adalah peserta lebih berusia dan sudah lama menyanyi, mereka pasti mempunyai identiti tersendiri.

“Saya tidak rasa perkara tersebut akan berlaku kerana saya tidak akan jumpa orang lain yang sama seperti saya.

“Soal terikut-ikut terutama dengan mentor sendiri pasti sukar ditemui dalam kalangan peserta otai. Mereka sudah lama menyanyi jadi mereka sudah ada karakter mereka sendiri yang sukar untuk dibuang,” jelasnya.

Tam ikut peredaran

Dalam mencari anak didik yang berbakat dalam nyanyian, vokalis kumpulan Spider ini turut menyenaraikan ciri istimewa yang perlu ada kepada bakal protegenya.

Menurut Tam Spider, bagi memenuhi kehendak penonton zaman ini, selain berbakat besar dalam nyanyian, Tam juga mahu memberi peluang kepada peserta yang memiliki sifat kelakar.

“Secara asasnya saya mahu cari perserta yang berbakat dan pastinya boleh menyanyi. Kalau dia boleh bermain muzik atau menari itu satu bonus untuk kami.

“Seperkara lagi, saya ingin mencari seseorang yang mampu memenuhi kehendak penonton. Saya mahu mengikut peredaran zaman iaitu penonton sekarang lebih sukakan penghibur. Dia boleh menyanyi dan pada masa yang sama seorang yang kelakar,” ujarnya.

Tambah Tam atau Rustam Mustafa, 45, ciri-ciri peserta yang disenaraikannya itu bersesuaian dengan program pertandingan tersebut.

“Pertandingan Mentor ini adalah untuk tontonan rakyat. Pada pandangan saya, jika kami menjadikan program ini terlalu formal atau profesional, saya risau penonton sukar untuk faham perkara yang kami cuba berikan,” jelas Tam.

Misha tak pilih rupa

Stigma masyarakat selalu menjadikan rupa sebagai tanda ukur bagi seseorang selebriti. Mengulas mengenai isu tersebut, Misha Omar mengakui tidak mahu mengutamakan perkara itu.

“Kriteria utama yang saya perlukan daripada peserta ialah bakat. Jika dia ada rupa, itu adalah satu bonus tetapi bagi saya paling penting dia kena ada suara, bakat dan x-factor.

“Dari awal penglibatan saya dalam bidang ini, saya bukanlah seorang yang cantik tapi apabila saya serius untuk berjaya dalam bidang seni ini saya tahu yang perlu dilakukan dengan imej saya agar mampu tampil lebih menarik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Misha, 36, mengakui, diberikan tugas sebagai mentor kepada peserta yang mungkin lebih berusia pastinya mengundang cabaran. Pun begitu, Misha mempunyai cara tersendiri dalam mengharungi cabaran tersebut.

“Semestinya ada cabaran untuk saya membimbing peserta yang lebih berusia.

“Sejak dahulu saya diajar jika mahu menegur orang yang lebih berusia kita kena berlembut. Jadi, saya akan mengaplikasikan cara yang sama dalam program itu nanti,” kata Misha.

Sarah guna pengalaman

Dia baru berusia 33 tahun namun sudah diberi tugas sebagai mentor kepada protege yang mungkin lebih berusia daripadanya.

Berdepan situasi tersebut, Siti Sarah Raisuddin percaya ilmu dan pengalaman selama 15 tahun berkecimpung dalam dunia seni muzik mampu mengatasi isu usia antaranya dengan bakal protege.

“Pada awalnya saya tidak percaya apabila diberi peluang untuk menjadi mentor kepada protege otai. Apatah lagi dengan usia saya yang paling muda berbanding mentor-mentor lain.

“Mungkin saya masih muda namun saya yakin bersandarkan pengalaman ketika menyertai beberapa pertandingan nyanyian sebelum ini, saya dapat berkongsi ilmu tersebut dengan protege saya,” ujarnya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan itu memberitahu, ingin fokus kepada perkongsian teknik nyanyian dan imej peserta kerana dia yakin mereka pastinya sudah mempunyai bakat menyanyi.

“Saya mahukan peserta yang boleh menyanyi dalam pelbagai genre agar dia dapat dilatih menjadi seorang penyanyi versatil.

“Yang pasti, peserta yang datang kepada saya sudah ada ilmu dalam nyanyian. Sebagai mentor, saya hanya mahu memastikan mereka mendapat tunjuk ajar dari segi teknik nyanyian dan imej mereka sahaja,” jelas Sarah.