Malah Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal, berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dan menawarkan beberapa tawaran yang bersesuaian kepada para peserta.

“Kami telah pun berbincang dan insya-Allah ada perancangan lanjut untuk mereka. Saluran Astro mengandungi skop rancangan yang banyak, justeru kita akan menawarkan peluang pekerjaan dalam bidang lakonan, pengacaraan atau yang bersesuaian.

“Platform Big Stage ini bagi artis-artis muda yang sudah ada nama dalam industri dan peranan Astro ialah membantu mengilap bakat mereka untuk lebih bersinar bila keluar daripada program ini,” katanya.

Disoal mengenai perancangan bagi musim kedua, Emma memberitahu, pihak Astro perlu menilai kesemua aspek sebelum merangka langkah seterusnya.

“Melihatkan sambutan menggalakkan musim pertama Big Stage, besar kemungkinan akan ada musim akan datang, tetapi kita akan menilai dari pelbagai aspek terutama jumlah tontonan, maklum balas dan sosial media,” katanya.

SARAH SUHAIRI

Tiada formula khusus

MENDENDANGKAN lagu Awan Terpilu (Ning Baizura) dan lagu baharu berjudul Nyawa dan Raga, konsistensi cemerlang yang dipamerkan selama lapan minggu melayakkan Sarah Suhairi, 18, muncul juara Big Stage musim pertama.

Menerima pujian menggunung daripada juri jemputan, Mark Adam dan Mas Idayu selain juri tetap Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir, Sarah tidak meletakkan kemenangan tersebut sebagai satu kelebihan untuknya memperjudi nasib dalam seni tanpa usaha.

Tidak mempunyai sebarang formula khusus untuk meneruskan karier seni yang baru bermula, Sarah akui, banyak lagi perkara yang perlu ditimba bagi mengekalkan nama dalam industri.

“Tentu sekali itu bukan satu kerja yang mudah, malah perkara itu turut dipersetujui ‘otai-otai’ yang berdepan dengan nasib serupa.

“Untuk kekalkan nama selepas berakhirnya Big Stage, saya rasa itu terletak kepada rezeki. Kalau ada rezeki, saya akan terus mewarnai persada seni, malah besar harapan saya agar peminat tak akan berhenti menyokong,” katanya.

Memberitahu mahu memanfaatkan wang kemenangan dengan sebaik-baiknya, kata Sarah lagi:

“Pada usia begini, saya tidak mengharapkan sejumlah yang besar ada dalam akaun bank saya. Tetapi sudah ditakdirkan saya memenangi pertandingan ini, alhamdulillah menjadi kenyataan.

“Keluarga mencadangkan saya menyimpan separuh daripada wang itu ke dalam akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera. Bakinya, saya akan gunakan untuk kegunaan peribadi serta keluarga.”

Mengenai pencabar terdekatnya sepanjang pertandingan, gadis ini tidak mempunyai nama untuk dispesifikasikan, malah lebih senang memberitahu bahawa semua finalis sudah memberikan yang terbaik untuk menawan hati juri profesional.

“Finalis lain sudah ada nama dan saya pula baharu sahaja menyertai industri. Mereka juga memberikan persembahan terbaik. Aspek-aspek itulah yang menjadikan saya tidak boleh berikan nama nama pencabar,” jelasnya.

SYAFIQ FARHAIN

Tidak lepaskan jawatan tetap

DIUJI dengan berita kemalangan ayah tercinta, vokalis kumpulan Iklim, Saleem pada Jumaat lalu sedikit sebanyak turut mempengaruhi persembahan Syafiq Farhain pada malam itu.

“Memikirkan keadaannya sedikit sebanyak mengganggu tumpuan saya pada malam akhir, mungkin kerana kurang tumpuan sewaktu sesi latihan selain memikirkan keadaan ayah yang berada di hospital.

“Sejak ayah dimasukkan ke hospital Khamis lalu, saya baru dua kali berkesempatan melawat dia,” kongsinya yang turut melahirkan kekesalan apabila ada yang sanggup menyebarkan berita palsu kematian bapanya.

Mengakui kesal dengan sikap tidak sensitif masyarakat hari ini, Syafiq juga tidak faham tujuan sebenar mengapa ada pihak yang sanggup melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab seperti itu.

“Ya, memang saya bengang dan marah bila orang sebarkan berita palsu kematian ayah. Apa sebenarnya yang mereka nak dan apa yang mereka dapat apabila sengaja buat cerita palsu?

“Mungkin mereka nak kejar likes dan populariti atas kesempitan orang lain, saya tak tahu. Tetapi saya sangat terkilan dengan tindakan tersebut.

“Lebih membuatkan saya geram, ada yang tag saya dalam Instagram Story dan bagi ucapan takziah serta al-Fatihah. Tolonglah selidik dahulu sebelum berkongsi sesuatu yang tidak betul. Kena ada rasa empati dan sensitif,” luahnya.

Berkongsi rasa dengan masa depan seninya yang dilihat cerah, Syafiq bagaimanapun tegas dengan pendiriannya untuk tidak melepaskan kerjaya tetapnya sebagai anggota bomba.

“Saya tiada niat untuk berhenti daripada bomba, malah selagi boleh mahu aktif dalam kedua-dua bidang ini. Alhamdulillah, saya mendapat sepenuh sokongan daripada ketua jabatan malah waktu bekerja pun ikut masa pejabat jadi tak mengganggu kerja luar saya,” jelasnya.

AFIEQ SHAZWAN

Mahu bakat dipandang

BERBANDING finalis lain, Afieq Shazwan sudah sedekad mengatur langkah di gelanggang hiburan menerusi program realiti Idola Kecil. Meskipun sedikit terkilan kala rakan seangkatannya ligat membina nama, bakat Afieq pula dilihat masih belum menyerlah.

Namun kemenangan dalam Big Stage memberinya keyakinan untuk menghasilkan lebih banyak produk baharu.

“Sebenarnya dari minggu pertama lagi saya sudah pasang niat (jika menang) nak bawa mama mengerjakan ibadah umrah. Sebelum ini saya fikir untuk membiayai tiket dan pakej untuk seorang sahaja. Tetapi dengan rezeki ini, insya-Allah saya akan ikut sekali. Jika ada lebih, saya akan simpan,” katanya.

Mula membabitkan diri dalam seni sejak usia 11 tahun, Afieq mengakui pentas Big Stage memberinya kelebihan untuk mengumpul lebih ramai peminat.

“Sabar adalah kuncinya. Saya bersyukur penyokong tak pernah bosan mengundi dan memberi kata-kata semangat,” katanya.

WANI KAYRIE

Wakili Malaysia di Indonesia

SEKADAR berpuas hati di kedudukan keempat, Wani Kayrie akur dan bersyukur dengan keputusan yang telah dibuat oleh barisan juri dan membolehkannya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.

“Semua ini takkan berhasil tanpa bantuan pihak lain yang tak perlu untuk saya sebutkan. Malah pada bulan hadapan saya akan mewakili Malaysia untuk liga Dangdut Asia (dulu dikenali sebagai D’Academy Asia) di Indonesia.

“Saya akan cuba genre dangdut pula. Pasti sahaja fokus selepas ini adalah untuk memberikan yang terbaik pada pertandingan itu. Jika ada rezeki di sana, apa salahnya saya kembangkan bakat.

“Saya mengharapkan doa anda semua untuk kejayaan saya mengharumkan nama Malaysia,” katanya yang membawakan lagu popular Nabila Razali iaitu Pematah Hati dan lagu baharu Saat Terindah.

BABY SHIMA

Puas hati

WALAUPUN berada di tempat kelima namun wanita berusia 25 tahun itu tetap berpuas hati dan menarik hela panjang apabila semua debaran sudah berakhir.

“Terima kasih pada semua yang menyokong saya dari awal hingga akhir. Saya dalam industri hiburan sudah lama. Macam-macam dugaan telah saya lalui.

“Bukan mudah untuk kita jadi artis dan bila berada pada peringkat ini, saya bersyukur sangat. Selepas ini perancangan saya untuk tinggal di Jakarta, Indonesia dan hanya akan pulang ke sini apabila ada program atau undangan persembahan,” tuturnya.

Baby Shima menyampaikan lagu asal Elizabeth Tan, Police Entry dan lagu baharu berjudul Sirna.