Apa kaitan berat badan dengan kerjaya seseorang artis itu? Ya, betul lah, dalam dunia artis, ia lebih kepada cerminan imej sebagai satu keperluan untuk artis tampil kemas dan berketrampilan.

Tetapi, dalam konteks pelawak, berat badan bukanlah satu jaminan atau ukuran tahap mana kemahiran berjenaka mereka kerana ia sangat bersifat subjektif.

Ada pelawak yang berbadan kurus, tetapi kurang bijak berlawak dan ada pula pelawak yang berbadan besar namun bisa menambat hati peminat dengan cara jenakanya yang tersendiri.

Hal ini berlaku kepada Rahim Raja Lawak. Dia yang sebelum ini memiliki berat badan 125 kilogram (kg), kini susut sebanyak 22 kg, menyaksikan bagaimana ada segelintir netizen menganggap perubahan itu meskipun baik, ia kononnya membawa ‘malang’ pada Rahim yang barangkali dilihat tidak lagi kelakar disebabkan perubahan fizikalnya.

Berpeluang bertemu dengan Rahim baru-baru ini membolehkan Pancaindera mendapatkan pendapat peribadinya mengenai pandangan tipikal tersebut.

Bagaimana rasanya selepas berjaya menurunkan berat badan dan nampak makin ‘sado’ sekarang?

Tak sangka daripada gurau senda dan cakap main-main, ia jadi satu kenyataan. Bayangkan sekarang saya dah boleh pakai saiz XL daripada XXXL sebelum ini. Biarpun pada awalnya agak berat hati nak buat, sebab ia bukan satu perkara yang mudah, tetapi saya letakkan niat satu sahaja, mahu sihat. Sebab itu, pada awal misi, saya minta agar program menyediakan pendekatan yang realistik. Jangan fokus nak turun saiz S, itu memang tak logik. Lagipun saya ni memang malas nak bersenam sebelum ini, main bola pun mampu bertahan 10 minit saja, lepas tu saya keluar padang. Pertama kali bersenam tempoh hari, saya tak tipu, sangat teruja bila berat badan turun sehingga 5 kg, kemudian tak sabar-sabar saya nak habiskan misi sehingga lima minggu berikutnya.

Sepanjang tempoh itu, pernah tak Rahim rasa macam putus asa atau emosi terganggu nak turunkan berat badan?

Ada. Bila saya rasa dah bersenam sehabis daya, tetapi berat turun cuma 200 gram. Terus saya rasa semua ini buang masa dan mula menyampah nak buat sebab penat macam setengah mati, berat turun cuma sikit. Rasa semua ini macam kerja gila dan tak berbaloi pun ada. Saya menggigil terpaksa lupakan makanan yang disukai macam asam pedas dan lauk lemak. Menggigil macam penagih tak dapat dadah. Sampai merajuk sebab fikiran macam terganggu. Rupa-rupanya, bila saya tanya pada pakar dan jurulatih, mereka kata apa yang saya lalui itu adalah normal. Lemak tepu memang susah nak bakar jadi kena buat senaman lebih intensif. Bila saya buat rutin senaman yang berbeza-beza termasuk muay thai, saya mula rasa tak bosan dah. Walaupun ada berlaku kecederaan, saya gagahkan juga teruskan misi.

Ada yang mengecam jurulatih Rahim kerana kecederaan yang berlaku sehingga dengar cerita salah seorang jurulatih terasa hati, boleh komen?

Memang ada dan jurulatih saya memang terkesan dengan cara sesetengah netizen kita yang menghentam mereka secara melulu. Sebenarnya, saya memang sudah ada kecederaan lama di bahagian kaki saya dan bila saya teruskan misi ini, tanpa disedari, menerusi rutin senaman yang saya buat ia memberi tekanan pada kecederaan yang lama. Kemudian, saya alami pula kecederaan baru juga di bahagian kaki, jadi kesakitan tu bertambahlah. Orang ramai yang ikut perkembangan saya tak tahu hal ini, jadi mereka salahkan jurulatih pula kononnya berikan saya rutin senaman yang ekstrem.

Bagaimana Rahim menerima perubahan baharu pada imej diri sekarang?

Banyak perkara baik yang berlaku bila berat badan dah turun ni dan antara yang dapat saya kongsi, saya dah tak semput bila memanjat tangga. Dah tak penat dan kalau bersukan contohnya main bola, saya boleh bermain sepenuhnya. Selama ini, saya susah tidur malam. Sekarang bila saya kepenatan baik kerja pun, tidur malam dah okey dan barulah saya sedar, rupanya selama ini berat badan saya yang menjadi punca tidur, sistem pernafasan terganggu.

Selain perubahan baik, ada mulut jahat di luar sana menuduh, Rahim dah tak gemuk, jadi dia dah tak kelakar, apa komen Rahim?

Tak dinafikan, Bahkan saya sendiri pernah terima kata-kata sinis itu yang mana mereka kata, bila saya dah kecil sikit sekarang ni, saya dah tak kelakar. Pada mereka, orang ketawakan saya dulu kerana fizikal saya yang besar. Beginilah, saya tak nak dilihat kelakar tapi hakikatnya saya sakit. Itu lagilah tak kelakar! Saya sangkal tanggapan begitu kerana tengok Nabil Ahmad sebagai contoh. Dia segak dan pandai jaga badan, dia tetap kelakar dan pandai melawak. Pada saya, ia bukan soal tubuh badan kalau nak ukur orang tu kelakar atau tidak. Isu yang saya tangani sekarang lagi penting, soal kesihatan. Saya bukan nak cantik, tapi nak sihat.

Jadi Rahim marah tak bila ada yang berfikiran begitu?

Buat apa nak marah. Biarkanlah kerana fokus yang lebih penting ialah, saya mahu semua orang faham bahawa kalau kelakar sekali pun tapi dalaman kita sakit, tak ada gunanya juga. Saya nak nasihatkan pada mereka yang nak kurus tu, kalau ada niat, jangan tangguh-tangguh sebab manusia ni memang akan ada seribu satu alasan untuk melakukan sesuatu. Nak mulakan memang payah, tapi kena gagahkan juga. Macam saya, buat benda baik pun kena kecam begini. Kadang-kadang tak faham. Cekalkan sajalah hati.

Ada rasa macam tak nak teruskan usaha untuk turunkan berat badan tak walaupun misi sudah berakhir?

Tidak. Saya akan tetap teruskan dan kebetulan mendapat sokongan yang kuat daripada kedua-dua isteri dan keluarga. Lagipun kawan-kawan ramai yang memberi semangat agar saya teruskan usaha saya ni. Sekarang, ada waktu rehat pun saya akan pergi ke gimnasium untuk bersenam.