Melangsungkan pernikahan dengan suami tercinta, Abg Mohd Sahril Abg Spian, 29, pada 6 Mac 2016, Ila yang merupakan protege kepada Joe Flizzow itu menjelaskan, keadaan tersebut memaksanya menolak beberapa tawaran bagi menjayakan persembahan pentas.

“Mulanya saya batuk tak henti-henti. Selang beberapa minggu, suara saya menjadi serak dan kadang kala tak kedengaran langsung. Hanya keluar angin saja jika cuba bercakap.

“Alhamdulillah, selepas tiga bulan, batuk pun berhenti, barulah keadaan suara saya pulih seperti sedia kala,” katanya bercerita pengalamannya mengandungkan anak sulung.

Tambah Ila atau Ila Damiaa Johar, dia bagaimanapun bersyukur kerana sepanjang proses kehamilan, dia tidak mengalami sebarang alahan yang teruk atau mengidam makanan yang pelik-pelik.

Mengulas lanjut tentang karier nyanyiannya, Ila yang pernah melancarkan single berjudul Cuma Kamu pada tahun lalu merancang akan mengeluarkan lagu seterusnya selepas selamat melahirkan bayinya.

“Cuma Kamu walaupun tidak rancak dimainkan di stesen-stesen radio tempatan tetap mendapat maklum balas peminat agak memberangsangkan.

“Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Sindhu Bharata itu juga pernah dijadikan lagu tema beberapa buah drama Melayu di dua saluran milik RTM iaitu TV1 dan TV2.

“Itu adalah pencapaian terbaik saya dan berharap selepas ini ada rezeki lain yang mendatang seiring dengan kurniaan cahaya mata ini,” katanya.

Ila Damiaa dan suaminya, Abg Mohd Sahril.

Ila Damiaa dan suaminya, Abg Mohd Sahril.

Berkongsi dengan Utusan Online, Ila berkata, doktor perbidanan yang merawatnya mengesahkan bahawa anak yang bakal dilahirkan kelak adalah seorang bayi lelaki. – UTUSAN ONLINE