Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tiada siapa yang mampu menggantikan Saleem dalam kumpulan Iklim

anggota kumpulan Iklim kembali bergandingan selepas sekian lama
Anggota kumpulan Iklim kembali bergandingan selepas sekian lama membawa haluan masing-masing.

Tidak ada desas-desus, tiba-tiba sahaja sebuah kumpulan rock yang pernah meniti zaman kegemilangan era 80-an, Iklim membuat kemunculan semula.

Pelik juga kerana sebelum ini, sudah ada cerita yang mengatakan Iklim tidak mungkin akan bersatu.

Namun, itulah ranjau membentuk sebuah kumpulan rock. Iklim sendiri tidak lepas daripada fasa itu. Mengekalkan sebuah kumpulan memang sukar.

Bagi vokalis Iklim, Saleem menafikan dakwaan terdapat masalah yang membuatkan Iklim menyepi buat masa yang lama.

Apatah lagi, 2006 merupakan tahun terakhir kesemua anggota Iklim bekerjasama untuk album Hati Emas sebelum semuanya membawa haluan masing-masing.

“Sebenarnya kami tiada masalah apa-apa. Tiada perselisihan faham antara kami. Cuma kalau ada gaduh itu biasalah. Tidaklah terlalu teruk sampai menjejaskan Iklim sebagai sebuah kumpulan.

“Apa yang terjadi kepada Iklim selepas hilang daripada industri seni adalah kerana faktor komitmen antara anggota.

“Masing-masing sibuk dengan kerjaya. Jadi, untuk bermain semula sebagai Iklim agak sukar. Tetapi jikalau ada masa yang sesuai, memang kami akan muncul sebagai Iklim semula dan kini sudah tiba masanya,” jelasnya.

Tambah gitaris Iklim, Umarul, kemunculan semula mereka adalah kerana permintaan daripada peminat luar negara dan tempatan.

“Peminat dari Indonesia, Brunei, Singapura dan tempatan sendiri ramai yang ingin lihat kami bersatu semula,” jelasnya.

Perancangan untuk bersatu semula ini, menurut Umarul, bermula sejak 2006 lagi selepas dia banyak bekerjasama dengan Saleem.

“Kebanyakan persembahan yang saya terlibat bersama dengan Saleem pasti ada satu rasa yang janggal.

“Kalau ada pemuzik lain yang bersama pun bunyinya tidak sama dan rasa janggal itu sebenarnya muncul kerana hubungan kami yang akrab,” jelasnya.

Memang hubungan akrab antara mereka sesama ahli kumpulan jelas terlihat sehinggakan mereka berpeluk dan mencium pipi satu sama lain.

Apatah lagi, pertemuan di studio Utusan Malaysia itu merupakan kali pertama kelima-lima mereka berkumpul sekali.

Tambah Saleem, hubungan mereka sudah ibarat adik-beradik.

“Kami bermula dari kampung dan bermain muzik. Secara perlahan kami naikkan nama Iklim daripada zaman susah, hinggalah kini,” jelasnya.

Tambahnya, harapannya terhadap Iklim kini tidaklah terlalu tinggi. Malah, dia meletakkan penerimaan itu kepada peminat sahaja.

“Muzik Saleem tidak akan berubah. Kami kekal dengan muzik lama dan terpulang kepada peminat untuk menerima atau tidak. Tetapi kami akan cuba untuk buat yang terbaik,” jelasnya.

 

Peminat gila Iklim

Bercerita tentang perancangan baharu Iklim, jelas Umarul, bahan untuk lagu sudah ada dan kini hanya menunggu masa untuk dirakam sahaja.

“Buat masa ini, ada tiga lagu baharu dan ada lagu yang kami simpan khusus buat Saleem sahaja,” jelasnya.

Lagu Santan Dan Kelapa, jelas Umarul adalah lagu yang sudah berusia lebih kurang lima tahun dan tidak diberikan kepada sesiapa.

“Itu lagu lama yang akan dirakam dan disimpan selama lebih kurang lima tahun. Kami mahu Saleem yang menyanyikannya.

“Kalau orang lain nyanyi, tidak ada jiwa dan roh Iklim dalam lagu itu. Apatah lagi Saleem adalah Iklim dan Iklim adalah Saleem,” jelasnya.

Lagu lain pula jelas Umarul, masih mengekalkan Iklim yang lama cuma disuntik sedikit pembaharuan untuk mengikut rentak muzik semasa.

Selain single, jelas Umarul, mereka juga merancang untuk membuat konsert jelajah bukan sahaja di sini, tetapi juga di Indonesia.

“Banyak permintaan dari Indonesia khususnya yang mahu kami buat persembahan dan perkara itu sudah dalam perbincangan,” jelasnya.

Bagi mereka yang berminat untuk menganjurkan konsert Iklim boleh berhubung dengan Julia di talian 016-3343387 dan Kak Ne 012-6929337.

Mengingat kembali kisah lama bersama dengan Iklim, jelas Saleem, kumpulan Iklim memang menjaga hubungan antara mereka dan peminat.

“Peminat dahulu lebih dahsyat sampai sekarang. Pernah sekali kami buat persembahan di Pulau Sentosa, Singapura.

“Habis sahaja persembahan itu, kami turun pentas peminat terus serbu kami. Datang terus peluk kami dan masa itu memang menjadi kenangan la,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pernah juga satu ketika mereka membuat persembahan di Pulau Pinang. Sambutan terhadap Iklim sangat luar biasa.

“Luar biasanya sampaikan kami hendak pergi ke pentas pun terpaksa menaiki van sebab bila peminat nampak kelibat kami, mereka akan serbu,” jelasnya.

Cuma, jelas Saleem, dia tidak menjangkakan akan menerima sambutan seperti itu hari ini. Tetapi kisah semangat peminat yang buat mereka berkobar-kobar mahu Iklim tampil semula.

Tambah Umarul pula, Iklim juga tidak terlepas daripada ditipu penganjur dan sebagainya. Itu adalah lumrah bagi anak seni.

“Kami pernah buat persembahan daripada sekecil-kecil pentas hinggalah ke pentas besar. Pernah sekali, kami ada persembahan di Selama, Perak.

“Masa itu sudah dihebahkan Iklim akan buat persembahan. Peminat sudah hadir tetapi kelengkapan untuk muzik tidak diberikan.

“Kami sendiri terpaksa mencari kelengkapan muzik, peralatan dan sebagainya untuk demi untuk tidak mengecewakan peminat.

“Itu antara sebahagian pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” jelasnya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan