Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha menegaskan, tempoh selama 24 jam telah diberikan agar individu terbabit memadam semua foto tersebut yang dimuat naik di laman sosial jika enggan berhadapan tindakan saman.

“Tidak salah jika mahu berniaga tetapi saya cukup pantang sekiranya ada pihak cuba ambil kesempatan sebegini, sekali gus mengaut keuntungan atas angin.

“Kalau nak sangat guna gambar saya, ikut prosedur yang betul. Lantik dan bayar saya sebagai duta produk tersebut,” tegasnya dalam satu entri yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

Pada masa yang sama, Ifa juga mahu pihak terbabit menunjukkan bukti seandainya benar dia pernah menggunakan produk berkenaan untuk menurunkan berat badannya.

Jelas penyanyi itu, kejayaannya menurunkan berat badan daripada 72 kilogram kepada 58 kilogram sekarang ini adalah menerusi diet yang diamalkannya.

“Sebelum ini saya pernah kongsikan rahsia mendapatkan tubuh langsing dengan hanya memakan buah-buahan dan elak minuman bergula serta berperisa.

“Selain itu, saya turut ambil suplemen keluaran sendiri iaitu Diva’s Secret untuk kelihatan segar dan bertenaga. Itu sahaja,” kongsi Ifa. - UTUSAN ONLINE