Menurut Ieda atau Siti Haida Abdul Moin, selama hidup solo, tidak dinafikan memang ada beberapa lelaki yang cuba mendekatinya namun kebanyakan sudah beristeri.

“Daripada saya menerima lamaran suami orang, biarlah saya hidup begini dan bahagia dengan anak saya. Lagipun, saya bukannya terdesak untuk kembali mendirikan rumah tangga,” tegasnya.

Dalam masa sama, berkongsi cerita, ada juga lelaki bujang yang ingin mengenalinya dengan lebih rapat tetapi rata-ratanya terlalu muda atau dilabel sebagai ‘anak ikan’.

Sedar dirinya sudah berusia, Ieda berpendapat, pemuda berusia awal 20-an dilihat tidak begitu sesuai untuk dijadikan pasangan dalam melayari bahtera berumah tangga.

“Bukan tak boleh muda tetapi tidaklah terlalu ketara umurnya dengan saya. Awal atau pertengahan 30-an mungkin okey,” katanya.

Sementara itu, dia yang ditemui sewaktu pratonton drama Air Mata Di Bumi Matador yang diadakan di Finas, Hulu Klang baru-baru ini mendedahkan, dia kini menjalin hubungan dengan seorang jejaka.

“Namanya Amril Gulkhan. Baru berumur 35 tahun. Tak silap kami mula berkenalan sejak tiga tahun lalu dan perhubungan kami boleh dikatakan serius.

“Cukuplah, hanya itu sahaja yang boleh saya kongsikan kerana terlalu peribadi,” ujarnya.

Selain Ieda, Air Mata Di Bumi Matador diterajui oleh Puteri Aishah, Ben Amir, Nazrief Nazri, Eyka Farhana dan Shakilla Khoriri.

Drama 26 episod itu akan mula bersiaran mulai 30 Mei ini, setiap Rabu dan Khamis jam 8.30 malam di TV2. - UTUSAN ONLINE