IDAYU menganggap peluang berduet dengan Pasha sempena Konsert Terunggul Afgan & Ungu merupakan satu peluang keemasan.

Untuk konsert anjuran Popcorn Studio Sdn. Bhd., yang akan bermula pada pukul 8.30 malam, di Stadium Malawati, Shah Alam, Idayu atau nama sebenarnya Nur Farah Idayu Yaakob, 32, akan berpadu suara dengan Pasha untuk lagu popular kumpulan tersebut yang berjudul Tercipta Untukku.

Dia yang sedang giat menjalani latihan untuk konsert mingguan AF Megastar memberitahu Utusan Online, peluang yang diperoleh merupakan bonus kepada dirinya.

“Sebenarnya saya pun tak tahu macam mana boleh terpilih. Sewaktu rakaman segmen kapsul AF Megastar, pihak produksi tunjuk satu video. Dalam video tu pemain gitar Ungu bagi ucapan pada saya untuk konsert mingguan AF Megastar.

“Kemudian dia beritahu yang mereka ingin mengundang saya untuk berduet dengan Pasha sewaktu Konsert Terunggul Afgan & Ungu. Memang terkejut sangat bila tengok video tu,” katanya.

Jelas Idayu, dia tidak kekok untuk mendendangkan lagu Tercipta Untukku kerana sejak dulu antara kumpulan muzik dari Indonesia yang diminati adalah Ungu, Kerispatih dan Dewa.

“Insya-Allah saya tak ada masalah untuk menyanyikan lagu itu sebab saya selalu menyanyi lagu tersebut dan ia antara lagu kegemaran saya.

“Setakat ini saya boleh urus untuk persembahan konsert mingguan AF Megastar dan Konsert Terunggul Afgan & Ungu. Memanglah jadualnya ketat, sebab konsert itu hari Jumaat, Sabtu pula latihan untuk AF Megastar sebelum menjayakan siaran langsung pada Ahad. Apapun saya berdoa agar diberikan kesihatan yang baik agar saya dapat memberikan persembahan yang terbaik bila muncul di pentas kelak,” katanya penuh semangat.

Tambah Idayu, kesempatan yang diberi merupakan satu bonus kerana tidak ramai yang berpeluang untuk mengadakan persembahan duet bersama artis ternama. Dalam pada itu Idayu juga bersyukur kerana penyertaannya dalam program AF Megastar telah membuka mata pelbagai pihak terhadap bakatnya.

Pada tahun 2005, Idayu pernah menyertai program Akademi Fantasia dan selepas itu dia menyepikan diri dalam bidang seni suara sehinggalah namanya kembali meniti di bibir peminat seni selepas menyertai AF Megastar tahun ini. - UTUSAN ONLINE