Sebaliknya, program itu terus menjadi bahan perdebatan dalam kalangan pencinta-pencintanya.

Bakal melabuhkan tirai akhirnya malam ini, program realiti yang memberi peluang kedua kepada bekas bintang-bintang AF menyaksikan persaingan sengit antara lima peserta termasuk Shahir (itu pun kalau Shahir tidak buat perangai).

Empat finalis lain ialah Idayu, Bob, Syamel dan Marsha yang berentap merebut wang tunai RM100,000 sekali gus merangkul gelaran juara untuk konsert edisi pertama yang julung kali diadakan itu.

Melihatkan peningkatan graf dan komitmen ditonjolkan saban minggu, mereka selayaknya berada di pentas akhir yang akan berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam pada pukul 9 malam.

Kalau dinliai dan mengikut timbang tara majoriti, nama Idayu disebut-sebut bakal ‘menyapu’ bersih lalu mengenepikan persaing terdekatnya Bob, Syamel, Marsha dan Shahir.

Dari sudut pandangan juri profesional, Datuk Ramli MS dan Syafinaz Selamat, masing-masing memberi jawapan selamat untuk tidak menyebut nama peserta yang menjadi kegemaran mereka.

Bagi Ramli, biarpun sebelum ini dia pernah memberikan ‘standing ovation’ buat Idayu pada minggu separuh akhir , rata-rata sudah dapat menjangka tindakan maestro muzik itu memberi bayangan yang jelas bahawa Idayu, 32, mampu bergelar juara.

Bagaimanapun, Ramli secara peribadi memberitahu, sebarang kemungkinan boleh berlaku malam ini

“Saya tiada pilihan. Siapa pun boleh bergelar juara dan apa sahaja boleh berlaku pada malam itu.

“Kelima-lima peserta yang bertanding, tiada seorang pun yang menjadi kegemaran saya. Kita tunggu sahajalah konsert final nanti,” katanya kepada Utusan Online.

Sementara itu, seorang lagi juri tetap AF Megastar, Syafinaz Selamat pula berkongsi tips buat peserta agar tidak tersalah membuat pilhan lagu memandangkan ini pertandingan akhir bagi membuktikan mereka mampu menyumbang kepada industri seni tempatan.

“Secara profesional saya tidak mahu meletakkan ranking setiap peserta berdasarkan tujuh minggu persembahan mereka.

“Apa yang boleh saya katakan antara kelemahan mereka adalah ketika memilih lagu. Saya harap mereka bijak memilih lagu untuk final,” kata guru vokal tersohor itu.

Dalam pada itu, walaupun perjuangannya kecundang dan menjadi peserta terawal tersingkir pada konsert pertama AF Megastar, Azhar Osman masih tetap mengikuti perkembangan dan menonton persembahan rakan-rakannya pada setiap minggu.

“Saya berharap sangat Bob dan Idayu akan mengungguli kedudukan teratas. Bob secara tak langsung ialah sifu saya yang banyak mengajar nyanyian dan teman baik saya.

“Untuk Idayu pula, sewaktu di AF3, saya pernah tergamam melihat nyanyian dia dan turut kecewa bila dia terkeluar.

“Justeru, apabila dia (Idayu) kembali bersama AF Megastar dan berentap bersama Bob di final, saya berharap salah seorang daripada mereka akan bergelar juara,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Online.

Sementara itu Indah Ruhaila hanya mampu tersenyum berpuas hati bertahan sampai ke peringkat suku akhir.

Dia secara peribadi turut memilih Idayu yang mempunyai teknik vokal whistle yang bukan calang-calang penyanyi mampu lakukan.

“Saya meletakkan Idayu sebagai pilihan utama untuk bergelar juara sulung AF Megastar. Kekuatan vokal dan aura yang ada padanya tidak disangkal lagi.

“Lagipun, dari awal minggu Idayu sudah membuktikan kehebatannya. Selain Idayu, Bob dan Syamel juga mempunyai peluang yang agak besar,” ungkapnya. - UTUSAN ONLINE

Senarai lagu peserta AF Megastar

Bob: Terbuang Dalam Pelukan & Bukan Dia Tapi Aku

Marsha: Hilang & Pilihlah Aku

Idayu: Selamanya & My All

Syamel: Biar Cinta & Seniman Menangis

Shahir: Mama Jangan Pergi & Tapi Bukan Aku