Ibu sahkan Elfira Loy putus tunang

ELFIRA LOY sebelum ini menjalin hubungan dengan penyanyi Sufian Suhaimi dan bertunang, walau bagaimanapun pertunangan mereka tidak berakhir ke jinjang pelamin seperti yang diberitahu ibunya. - UTUSAN ONLINE

Demikian jawapan yang diberikan ibu kepada pelakon Elfira Loy mengenai status pertunangan anaknya itu dengan penyanyi Sufian Suhaimi.

Menurut Filzah Yusoff, keputusan untuk berkongsi berita ini sebenarnya masih belum diketahui Elfira.

Bagaimanapun, jelasnya sebagai ibu dia yakin anaknya itu berada dalam keadaan yang baik.

“Dia masih tidak tahu soal ini memandangkan masih di luar negara dan hanya akan pulang pada 19 Februari ini. Tetapi saya yakin dia dalam keadaan yang baik, kerana dia seorang anak yang mendengar kata.

“Sebagai ibu saya juga doakan kan dia bertemu jodoh yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online sebentar tadi.

Pasangan Elfira dan Sufian mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober tahun lalu dan bakal bernikah pada Mac depan.

Bagaimanapun, desas-desus mengenai keretakkan hubungan mereka mula dihidu sejak dua bulan lalu apabila tidak lagi bergambar bersama di laman sosial.

Malah dua hari lalu, Sufian juga dikatakan telah menukar nombor telefon kerana enggan ditanya mengenai status hubungannya dengan Elfira.

Elfira melalui perkongsian di Instagramnya semalam pula seakan meminta peminat tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kisah peribadinya.

Ini kerana, jelasnya, netizen dan peminat tidak mengetahui kisah sebenar di sebalik kemelut yang dihadapinya. - UTUSAN ONLINE

Ibu sahkan Elfira Loy putus tunang